Kes hepatitis akut kanak-kanak berpunca daripada perintah berkurung?

Kes hepatitis akut kanak-kanak berpunca daripada perintah berkurung?

PAKAR percaya perintah berkurung mungkin melemahkan imuniti kanak-kanak. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kes hepatitis dalam kalangan kanak-kanak di beberapa negara sejak kebelakangan ini mungkin berpunca daripada pelaksanaan perintah berkurung Covid-19 sehingga melemahkan imuniti mereka.

Perkara itu diumumkan oleh pegawai kesihatan United Kingdom (UK) ketika mendedahkan dua lagi kanak-kanak di negara ini memerlukan pemindahan hati dan puluhan lagi jatuh sakit.  

Lapor Daily Mail, beberapa pakar memaklumkan perintah berkurung mungkin melemahkan imuniti kanak-kanak dan menyebabkan mereka lebih terdedah kepada virus atau patogen yang bermutasi untuk menimbulkan ancaman lebih besar.

Pakar hepatologi juga percaya bilangan kes dilaporkan hanya sebahagian kecil sahaja kerana ramai ibu bapa mungkin mengendahkan tanda amaran tersebut.

“Saya dapat bayangkan terdapat lebih banyak kes daripada dilaporkan namun ia berkemungkinan kurang teruk,” kata pakar hepatologi dari Kolej Imperial London, Prof. Simon Taylor-Robinson.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebab untuk menjadi panik kerana dalam 99 peratus kes, organ hati dapat menjana semula secara sendiri, malah peluang untuk menjalani pembedahan pemindahan organ atau meninggal dunia disebabkan keadaan adalah sangat rendah.           

Secara keseluruhan, sebanyak 114 kes `hepatitis akut yang tidak diketahui asalnya’ dilaporkan di UK dalam tempoh empat minggu lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak menjalani pembedahan pemindahan hati yang kritikal.

Kes pertama dikesan di Scotland sebulan lalu sehingga mencetuskan amaran dari pegawai kesihatan UK selepas mengesan sejumlah besar kes dalam tempoh tiga bulan.

Kebanyakan kes dikesan pada kanak-kanak dibawah lima tahun yang pada mulanya mengalami cirit-birit dan loya sebelum mendapat jaundis.

Antara gejala lain dikesan termasuk warna air kencing kuning gelap, najis berwarna kelabu, kulit gatal, sakit otot, demam, lesu, hilang selera makan dan sakit perut.

Siasatan masih sedang dijalankan namun para pegawai percaya penyakit itu mungkin dicetuskan oleh adenovirus dan dikaitkan dengan kira-kira tiga perempat daripada jumlah semua kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN