KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan Malaysia tidak akan sesekali menyerah kepada tekanan atau pengaruh mana-mana kuasa luar dalam urusan perdagangan dan dasar luar negara, sebaliknya semua keputusan dibuat berpaksikan kedaulatan serta kepentingan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang rundingan perdagangan antarabangsa termasuk perjanjian baharu dengan Amerika Syarikat (AS) menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dilaksanakan dengan menitikberatkan undang-undang domestik dan keselamatan negara.
“Setiap keputusan kerajaan mesti berpandukan kepentingan negara. Tidak ada soal menyerah kepada mana-mana kuasa asing.
“Kalau sesuatu syarat menjejaskan keselamatan atau kedaulatan kita, maka Malaysia berhak untuk menolak,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjelaskan, peruntukan di bawah Seksyen 5 iaitu Economic and National Security dalam ART secara jelas menyatakan bahawa pelaksanaan perjanjian perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara masing-masing, termasuk kawalan keselamatan domestik.
Menurutnya, ketetapan itu membuktikan Malaysia kekal berpegang kepada prinsip kedaulatan dan kebebasan membuat keputusan sendiri, tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China.
“Malaysia akan terus mengamalkan dasar perdagangan bebas yang seimbang. Kita tidak berpihak kepada mana-mana blok, sama ada AS atau China.
“Pendekatan kita ialah centrality ASEAN, dimana ia memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rantau dan negara,” katanya.
Ketika menjawab dakwaan pembangkang, bahawa kerajaan “menyerah kepada kuasa luar” dalam rundingan perdagangan, Anwar berkata perkara itu tiada asas.
Anwar berkata, tuduhan bahawa Malaysia menyerah kepada tekanan asing adalah fitnah politik dan menjelaskan bahawa semua perjanjian dirunding secara telus serta mengambil kira kepentingan jangka panjang ekonomi negara.
“Malaysia menjadi lokasi rundingan penting antara AS dan China di Kuala Lumpur, sebelum pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping, sebagai bukti kepercayaan dunia terhadap kebolehpercayaan diplomasi Malaysia.
“Ini menunjukkan Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa. Kita tidak menjadi alat mana-mana kuasa besar, sebaliknya berperanan sebagai jambatan dialog dan keamanan,” katanya.
Menurut Anwar, sudah tiba masanya untuk pihak pembangkang berhenti memutar belit fakta dan cuba memahami kandungan sebenar perjanjian antarabangsa.
“Masalahnya, ada yang tidak faham teks perjanjian tetapi cepat membuat tuduhan. Kita tidak ikut hukum orang luar. Malaysia ada pendirian dan maruah sendiri,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antarabangsa dengan pendekatan bersasar yang melindungi kepentingan rakyat, mencipta peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh sektor digital dan teknologi tinggi negara. – UTUSAN










