RAMALLAH: Penduduk Palestin menyuarakan kebimbangan mengenai langkah Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang bakal menyerahkan perkhidmatan bantuan kemanusiaannya kepada organisasi lain.
Seorang sumber Palestin mengesahkan UNRWA akan menyerahkan perkhidmatan bantuan membabitkan lima juta penduduk Palestin yang menetap di 58 kem pelarian kepada organisasi lain bagi mengatasi krisis kewangan dihadapinya.
Lapor Arab News, Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini memaklumkan mengenai masalah kekurangan dana dialami agensi itu menerusi surat bertarikh 23 April lalu kepada pelarian Palestin.
Dalam surat itu, beliau berkata, pihaknya sedar kesusahan dialami pelarian Palestin di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Jordan dan Lubnan disebabkan keadaan keselamatan dan ekonomi yang tidak stabil di negara tersebut.
“Realitinya, disebalik pelbagai usaha dilakukan termasuk pengumpulan dana sejak 10 tahun kebelakangan ini, sumber sedia ada untuk UNRWA terbantut, sementara keperluan pelarian Palestin dan kos operasi terus meningkat.
“Kekurangan dana UNRWA yang kronik berpunca daripada perubahan geopolitik, dinamik serantau dan kemunculan krisis kemanusiaan baharu ditambah lagi dengan pengumpulan derma bagi salah satu konflik terpanjang dunia yang masih gagal diselesaikan.
“Semua ini menjejaskan tumpuan terhadap isu Palestin terutamanya dalam kalangan beberapa penderma baharu dari negara Arab,” jelas surat itu.
Setakat ini, agensi PBB itu menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada tujuh juta pelarian Palestin di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Jordan, Syria dan Lubnan sejak 1948, dengan penurunan ketara dalam kualiti serta kuantiti perkhidmatan berkenaan.
Jelas surat itu, UNWRA juga mengakui semakin terdedah kepada politik tempatan di beberapa negara penderma.
Sementara itu, Lazzarini dilaporkan melawat beberapa negara untuk mengumpulkan sumber kewangan bagi membolehkan UNWRA meneruskan misi bantuan kepada pelarian Palestin.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai hasil lawatannya.