TARAKAN: Sepasang suami isteri di Tarakan, Kalimantan Utara ditahan polis selepas didakwa mendera anak perempuan mereka berusia tiga tahun.
Jurucakap polis Tarakan, Muhammad Aldy berkata, kanak-kanak perempuan itu disyaki menjadi mangsa dera ibu kandung dan bapa tirinya selama dua tahun.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, kanak-kanak itu hanya diberi makan mi segera mentah, selain sering dipukul dan dicubit, malah tidak dibenarkan keluar dari rumah.
Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak tersebut memiliki berat badan kurang dan masalah nutrisi yang serius.
“Kes ini terbongkar selepas beberapa jirannya merakam video bagaimana kanak-kanak itu dipukul bapa tirinya.
“Dalam video yang diserahkan kepada polis, kelihatan bapa tirinya memijak kepala kanak-kanak itu sehingga berdarah.
“Jiran pasangan suami isteri itu juga mendakwa mereka sering mendengar suara tangisan mangsa,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Jelas Muhammad, kanak-kanak itu didera selepas ibu bapa kandungnya bercerai dan ibunya berkahwin lain.
Dengan suami baharunya, wanita tersebut dikurniakan dua anak yang masing-masing berusia satu setengah tahun dan lima bulan.
“Polis juga akan menyiasat jika dua lagi anaknya turut menjadi mangsa dera.
“Ketika ini, kanak-kanak perempuan itu menjalani rawatan di hospital dan diletakkan di bawah pemantauan jabatan kebajikan.
“Ibunya boleh dipenjara lima tahun, manakala bapa tirinya bakap dipenjara 10 tahun jika disabit kesalahan,” ujarnya.