LONDON: Seorang lelaki tergamak menikam jirannya sebanyak 27 kali sampai mati hanya kerana persengketaan di tempat parkir.
Lapor Daily Mail, Can Arslan, 52, menikam mangsa, Matthew Boorman di halaman depan rumahnya di Walton Cardiff, Gloucestershire, 5 Oktober tahun lalu.
Suspek turut menyebabkan isteri mangsa, Sarah Boorman mengalami kecederaan parah selepas kakinya ditoreh ketika cuba menarik suaminya.
Lelaki itu malah mendakwa terdengar ‘suara’ anak patungnya semasa kecil yang mengarahkan dirinya membunuh mangsa.
Namun, pakar forensik psikologi, Dr. John Sandford berkata, lelaki itu disahkan tidak mempunyai masalah gangguan mental dan tidak perlu dimasukkan ke hospital.
Sebaliknya, suspek didapati mengalami gangguan personaliti yang disifatkan sebagai jarang berlaku kepada individu yang mempunyai ‘personaliti di luar julat normal’.
“Kadang-kadang anda boleh bantu mereka, tetapi dalam beberapa kes anda tidak boleh kerana itulah sifat dan perwatakan mereka,” katanya.
Menurut Sandford, individu yang berhalusinasi selalunya sangat terganggu dan bertindak balas terhadap suara yang mereka dengar dan sukar membezakan antara orang yang bercakap dengan mereka dalam kehidupan sebenar.
Rakaman video yang ditayangkan di mahkamah turut menunjukkan defendan tersengih dan ketawa apabila mengetahui jirannya yang mempunyai tiga anak meninggal dunia.
Setahun sebelum itu, suspek pernah memberi amaran kepada polis bahawa dia sudah lama merancang untuk membunuhnya.
Arslan juga didakwa sering memaki hamun dan mengugut keluarga mangsa berhubung pertikaian yang berlaku, namun tidak pernah menyangka dia sanggup membunuh.
Suspek kini berdepan pertuduhan melakukan kekecohan dan membunuh di Mahkamah Bristol Crown.
Bagaimanapun, defendan menafikan dakwaan melakukan pembunuhan terhadap jirannya.