PETALING JAYA: Peperangan yang sudah berlanjutan hampir dua bulan di Ukraine perlu dihentikan segera bagi menamatkan kesengsaraan yang dialami penduduk di negara itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague berkata, serangan tentera Rusia di Kyiv dan bandar-bandar lain menyebabkan kerosakan besar sehingga jutaan rakyat Ukraine bergelar pelarian.
Jelasnya, insiden pencerobohan dan sekatan terhadap Moscow turut menjejaskan sektor ekonomi apabila berlaku penurunan peratusan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti dilaporkan oleh Bank Dunia, baru-baru ini.
“Kesan terhadap rakyat Ukraine sangat dahsyat dan kami menggesa Rusia hentikan serangan dan mengundurkan tentera mereka segera.
“Bukan kami sahaja (Perancis) bahkan sebahagian besar negara di dunia menuntut gesaan tersebut.
“Hanya itu sahaja yang dapat memulihkan keadaan,” katanya ketika melakukan kunjungan rasmi di ibu pejabat Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada tindakan sekatan ekonomi dapat menghentikan peperangan di Kyiv, kata Galharague, langkah tersebut mampu memberikan impak yang sangat kuat terhadap Rusia dalam jangka masa pendek dan panjang.
“Sebenarnya sekatan sudah mula mempunyai kesan sampingan sehingga menyebabkan Bursa Saham di Moscow pernah ditutup.
“Sekatan itu bertujuan memberikan tekanan maksimum supaya Rusia tidak mampu lagi menanggung beban peperangan yang dicetuskan sejak 24 Februari lalu,” tegasnya.
Mengulas tuntutan Rusia terhadap negara luar supaya melakukan transaksi dalam mata wang ruble bagi urusan penjualan gas, Galharague menegaskan permintaan tersebut sangat tidak wajar.
“Perkara itu sama sekali tidak akan berlaku kerana bercanggah dengan kontrak perjanjian.
“Kontrak secara jelas menyatakan urusan perdagangan melibatkan matawang euro atau dolar dan bukannya ruble,” katanya. – UTUSAN