PETALING JAYA: Kerjasama antara rantau ASEAN dan United Kingdom (UK) dalam Perkongsian Keselamatan Kesihatan (HSP) ASEAN-UK sebagai persediaan berdepan ancaman kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama tersebut sebagai komitmen bersama dalam memperkukuh sistem keselamatan kesihatan serantau secara menyeluruh.
Katanya, ia turut menjadi kesinambungan kepada rangka kerja ASEAN bagi Pelan Tindakan Bersama ASEAN One Health (AOH-JPA) susulan penamatan beberapa inisiatif jangka pendek.
“Kami melihat HSP sebagai pemudah cara yang penting untuk memastikan kesinambungan, penyelarasan dan pelaksanaan berkesan AOH-JPA di peringkat nasional dan serantau, selaras dengan keutamaan negara anggota ASEAN.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kita untuk memperkukuh keselamatan kesihatan, meningkatkan kesiapsiagaan dan membina sistem kesihatan yang berdaya tahan di seluruh rantau,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Nor Fariza Ngah pada Program Pelancaran ASEAN-UK HSP 2025 di sini, hari ini.
HSP ialah program lima tahun bertujuan memperkukuh keupayaan ASEAN dalam mencegah, mengesan dan memberi respons terhadap ancaman kesihatan.
Program dibiayai UK itu menyediakan geran bagi projek-projek di rantau ASEAN dalam usaha menambah baik sistem kesihatan, meningkatkan akses penjagaan kesihatan dan meningkatkan keupayaan ASEAN berdepan ancaman baharu melibatkan kesihatan.
Dalam pada itu, Duta UK ke ASEAN, Sarah Tiffin berkata, dengan kesiapsiagaan pandemik, penyakit baharu muncul dan ketahanan sistem kesihatan sebagai tumpuan utama, program tersebut mencerminkan kolaborasi antara kepakaran British dan ASEAN.
“Mencapai hasil-hasil ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia amat penting demi kesejahteraan rantau kita dan dunia. Cabaran yang kita hadapi menuntut tindakan kolektif dan tanggungjawab bersama.
“Dengan bekerjasama, kita mampu mengubah cabaran-cabaran ini menjadi peluang untuk inovasi, ketahanan dan impak yang berkekalan,” katanya. – UTUSAN











