BANGKOK: Polis Diraja Thailand memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan gurau senda yang dilakukan sempena 1 April, hari ini.
Lapor Thethaiger, hari April Fool disambut setiap 1 April di kebanyakan negara Eropah dan negara Barat, dengan usikan atau gurauan terhadap orang lain sama ada bergurau senda atau memalukan mereka.
Namun, anda juga perlu berhati-hari kerana gurauan juga boleh menyebabkan seseorang disumbatkan ke dalam penjara.
Timbalan Jurucakap Polis Diraja Thailand, Suwat Deepor memberi amaran kepada orang ramai daripada memuat naik sebarang bentuk gurauan dan pembohongan terutamanya dalam media sosial.
Jelasnya, individu yang menyebarkan berita palsu yang mengancam keselamatan negara atau menimbulkan kegentaran awam boleh berdepan sehingga lima tahun penjara dan denda 100,000 baht (RM12,591).
“Jangan sebarkan sebarang berita palsu tentang Covid-19, sama ada berkaitan kluster atau kematian akibat wabak itu.
“Sebarang gurauan mestilah mematuhi undang-undang Thailand. Ini kerana, maklumat palsu dalam talian boleh didakwa atas kesalahan menyebarkan fitnah atau berita palsu,” jelasnya.
Suwat menggesa semua penduduk berhati-hati ketika memuat naik hantaran mengenai lawak jenaka mahupun gurauan dalam media sosial.
Individu yang mengesan gurauan itu dalam media sosial boleh menghubungi Polis Diraja Thailand di 1599 yang beroperasi 24 jam.