HELSINKI: Finland akan mengemukakan permohonan untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam beberapa minggu akan datang.
Keputusan untuk menyertai NATO diteruskan walaupun Rusia memberi amaran akan memastikan `kemusnahan’ kepada negara itu sekiranya berbuat demikian.
Lapor Daily Mail, bekas Perdana Menteri, Alexander Stubb berkata, Finland dijangka menyertai pakatan ketenteraan itu seawal bulan depan.
“Pada awal perang, saya pernah menyatakan bahawa pencerobohan Rusia akan mendorong Finland dan Sweden untuk memohon menjadi anggota NATO.
“Saya memaklumkan ia mungkin mengambil masa beberapa bulan. Kini, Finland akan memohon keahlian NATO dalam beberapa minggu lagi, selewat-lewatnya Mei.
“Sweden mungkin menyusul selepas itu atau melakukannya secara serentak,” kata Stubb yang pernah memimpin Finland pada 2014 dan 2015.
Finland yang berkongsi sempadan panjang dengan Rusia dan berperang pada 1939, tidak pernah menjadi anggota pakatan pertahanan Perang Dingin sebaliknya memilih untuk mengatur perlindungannya sendiri.
Rusia pula mengancam Finland dan Sweden dengan akibat `tindakan ketenteraan’ sekiranya menyertai pakatan NATO.
Baru-baru ini, ahli Parlimen Rusia, Vladimir Dzhabarov berkata, Finland tidak mungkin akan melakukan perkara yang mendatangkan kemusnahan kepada negara itu.
Ancaman itu seolah-olah menunjukkan pengulangan insiden pencerobohan Ukraine yang sebahagiannya berpunca daripada hasrat untuk menyertai NATO.