TAIPEI: Sebuah stesen televisyen di Taiwan tampil memohon maaf selepas tersilap menyiarkan amaran kononnya China melancarkan serangan ke atas negara itu.
Lapor Daily Mail, rangkaian televisyen berpangkalan di Taipei, Chinese Television Systems (CTS) mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat dengan menyiarkan beberapa berita berkenaan.
Antara tajuk berita yang disiarkan termasuk `Bandar Taipei diserang peluru berpandu tentera Komunis’ dan `Kapal meletup, kemudahan dan kapal rosak di pelabuhan Taipei’.
“Berita lain bertajuk `Persiapan perang China, Presiden mengeluarkan perintah darurat’ dan `Perang boleh meletus, New Taipei City buka pusat perintah kecemasan dan kawalan bersama’, turut disiarkan,” jelas laporan itu.
Menurut CTS, seorang kakitangannya tersilap mengeluarkan kandungan daripada latihan pencegahan bencana yang ditugaskan oleh stesen televisyen itu untuk menghasilkan berita bagi Jabatan Bomba New Taipei City.
“CTS memohon maaf berhubung isu serius ini yang mencetuskan keadaan panik dalam kalangan orang ramai dan masalah kepada unit berkaitan,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
CTS memaklumkan pihaknya sudah menyiarkan permohonan maaf dan pembetulan berita di pelbagai saluran.
Tambah CTS, syarikatnya juga akan mengambil tindakan terhadap individu bertanggungjawab atas kejadian itu selepas memulakan siasatan dalam.
Ancaman China ke atas Taiwan semakin memuncak selama bertahun-tahun.
Taiwan merupakan sebuah negara demokrasi yang berkembang pesat namun Parti Komunis China (PKC) yang memerintah di tanah besar itu menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya.
Taiwan berdepan tekanan ketenteraan dan politik untuk menerima pemerintahan China.