LONDON: Sebagai langkah menghilangkan tekanan dalam penjara, banduan paling ganas dan berbahaya di Britain dibenarkan memelihara burung.
Lapor The Sun, Jurucakap Perkhidmatan Penjara berkata, banduan Kategori A perlu mendapatkan kebenaran mengikut budi bicara gabenor terlebih dahulu.
Katanya, banduan kategori itu melibatkan tahanan pengganas, pembunuh dan perogol.
“Langkah ini dapat membaiki tingkah laku banduan di dalam sel,” katanya.
Difahamkan, mereka boleh membeli burung kakak tua, burung nuri dan ayam sebagai ganjaran mempunyai tingkah laku baik.
Kebanyakan banduan yang membeli burung dikatakan sedang menjalani kehidupan di jeriji besi dengan haiwan peliharaan.
Burung tersebut dijual dengan harga lima pound (RM27) seekor.
Bagaimanapun, jika mereka mengabaikan tanggungjawab dan tidak menjaga burung itu, pihak penjara akan merampas semula haiwan tersebut.
Aktiviti memelihara burung dipercayai boleh memberikan kesan terapeutik kepada banduan sekali gus menimbulkan rasa kebertanggungjawaban.