PETALING JAYA: Malaysia perlu memastikan nilai tambah sektor unsur nadir bumi mentah (REE) kekal dalam negara susulan perjanjian eksport mineral kritikal dan nadir bumi yang terangkum dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pelaksanaan dasar yang jelas serta pemantauan rapi amat penting bagi memastikan manfaatnya dirasai ekonomi tempatan.
“Jangan sekadar jadi pengeksport bahan mentah. Malaysia perlu membina kapasiti teknologi dan tenaga mahir tempatan agar dasar ini berkesan.
“Bagaimanapun, kos pelaburan tinggi, persaingan serantau dan keperluan keseimbangan dasar kekal sebagai cabaran utama.
“Justeru, langkah kerajaan melarang eksport unsur nadir bumi mentah dianggap tepat dan berpandangan jauh.
“Polisi ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke dalam pembinaan kilang pemprosesan dan penyelidikan dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dari dimensi geopolitik, kerjasama ini turut mencerminkan persaingan kuasa besar dalam menguasai bekalan REE dunia, sekali gus meletakkan Malaysia di posisi strategik rantau ini.
“Melalui perjanjian tersebut, dijangka pelaburan asing dalam sektor pemprosesan nadir bumi akan meningkat.
“Ia turut membuka ruang kepada pembangunan rantai nilai hiliran, termasuk pengeluaran produk berasaskan bahan teknologi tinggi.
“Eksport Malaysia ke pasaran AS dijangka meningkat, terutama bagi produk bernilai tambah tinggi yang menggunakan komponen nadir bumi tempatan,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia masih mengekalkan dasar melarang eksport REE bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan.
Beliau berkata, Malaysia menggalakkan pelaburan asing dan perkongsian teknologi bagi aktiviti perlombongan REE mentah dalam membangunkan ekosistem industri domestik yang lebih bersepadu.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perjanjian itu memberi petunjuk bahawa ia dibayangi oleh perang dagang antara China dan AS yang masih berterusan.
“Keputusan China untuk menghentikan eksport komoditi tersebut memberi kesan besar kepada industri dan keseluruhan sektor ketenteraan AS kerana bahan itu diperlukan bagi pembuatan pelbagai teknologi moden termasuk barangan elektronik, tenaga baharu, pertahanan dan perubatan.
“China menggunakan komoditi berkenaan sebagai bahan tawar-menawar dalam rundingan perang dagang dengan AS yang mengenakan pelbagai kadar tarif membebankan terhadap produk dari China untuk pasaran AS,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia yang memiliki sumber komoditi nadir bumi dilihat berpotensi menjadi alternatif kepada China memandangkan industri di negara itu sudah jauh lebih maju dan bahan mentahnya telah siap diproses.
“Bagaimanapun, sumber nadir bumi di Malaysia masih belum dibangunkan sepenuhnya kerana risiko terhadap alam sekitar seperti dialami Lynas Rare Earths Ltd, satu-satunya pengeluar yang beroperasi di Pahang,” jelasnya.
Aimi Zulhazmi berkata, walaupun ia termasuk dalam kerangka ART, kerajaan Malaysia masih mengawal pengeluaran secara ketat disebabkan kesannya terhadap alam sekitar.
“Namun begitu, sekiranya AS berminat, mereka perlu melabur secara signifikan dalam pengeluaran ini sambil memastikan perlindungan alam sekitar dipertingkatkan.
“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan berbanding pengeluaran sedia ada dari China. Mungkin juga perjanjian ART dengan Malaysia dalam aspek sumber nadir bumi ini hanyalah sebahagian daripada strategi AS dalam rundingannya dengan China,” ujarnya. – UTUSAN










