JEDDAH: Kedua-dua Masjidil Haram dan Masjid Nabawi kini dilengkapi dengan 50,000 permaidani baharu bagi keselesaan jemaah sepanjang tahun, khususnya semasa bulan Ramadan, lapor Arab News.
Permaidani tersebut dibuat di Arab Saudi yang memenuhi kriteria dan spesifikasi tertentu untuk disesuaikan dengan ruang kedua-dua masjid di tanah suci bagi keperluan jemaah dan pelawat.
Pengarah Jabatan Pembersihan Permaidani di Masjidil Haram, Jaber Ahmed Al-Wada’ani berkata, semua permaidani baharu itu mengambil masa 11 bulan untuk dihasilkan.
Jelasnya, permaidani itu bermutu tinggi dengan sentuhan mewah supaya jemaah boleh menjalankan ibadah mereka dengan rasa tenang dan khusyuk.
Pihak berkuasa kedua-dua masjid itu juga menubuhkan jabatan khas 43 tahun lalu bagi membersih, membasmi kuman dan mengharumkan permaidani itu dengan bantuan teknologi terkini dan terbaik.
“Pada masa lalu, permaidani-permaidani di Masjidil Haram diimport dari Jerman, Belgium dan Lubnan. Sejak 1999 hingga 2000, import karpet dihentikan dan kumpulan pertama permaidani dihasilkan di kilang Mekah,” katanya.
Menurut Jaber, 14 kumpulan pertama permaidani Mekah yang dibuat di Arab Saudi mempunyai spesifikasi serupa.
Bagaimanapun, ia dibuat dengan tona warna merah. Kemudian, warna hijau digunakan dan warna tersebut menjadi standard bagi kedua-dua masjid.