COLOMBO: Konflik di Sri Lanka semakin meruncing selepas barisan menteri Kabinet negara ini meletak jawatan secara beramai-ramai selepas protes terhadap cara pengendalian kerajaan berhubung krisis ekonomi negara bertukar menjadi rusuhan ganas.
Memetik laporan BBC, seramai 26 menteri meletak jawatan kecuali Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa dan abangnya yang merupakan Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Penunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatan pemimpin dari keluarga Rajapaksa itu, bagaimanapun menyifatkan tindakan tersebut tidak bermakna selagi kedua-dua beradik itu masih memegang tampuk pentadbiran.
Semalam, sejumlah besar penunjuk perasaan melanggar peraturan perintah berkurung untuk mengadakan protes di beberapa bandar.
Menteri Pendidikan, Dinesh Gunawardena berkata, kesemua menteri Kabinet berkenaan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada perdana menteri.
Dilaporkan, anak perdana menteri, Namal Rajapaksa antara pemimpin yang turut meletak jawatan.
Namal menerusi satu ciapan Twitter berharap agar tindakannya akan membantu keputusan presiden dan perdana menteri untuk mewujudkan kestabilan buat rakyat dan negara.
Bagaimanapun, ramai penunjuk perasaan yang mendakwa presiden dan keluarganya bertanggungjawab bagi krisis tercetus di Sri Lanka, menyuarakan kemarahan berikutan kedua-dua pemimpin itu masih akan kekal berkuasa.
Sri Lanka ketika ini berdepan dengan krisis kewangan paling buruk sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.
Ia sebahagian besar didorong oleh kekurangan pertukaran mata wang asing bagi membiayai import penting termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan.