Ukraine sanggup jadi wilayah neutral - Utusan Malaysia

Ukraine sanggup jadi wilayah neutral

PASUKAN bomba berusaha memadam kebakaran di sebuah kemudahan menyimpan bahan api akibat terkena bedilan peluru berpandu Rusia di bandar Lviv, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Volodymyr Zelensky menegaskan Ukraine sanggup menjadi wilayah `neutral’ seperti dituntut Rusia.

Malah, pemimpin tertinggi itu juga memaklumkan Kyiv sedia bertolak ansur mengenai status wilayah timur Donbass sebagai sebahagian rundingan damai antara Ukraine dan Rusia.

Zelensky menyatakan perkara itu kepada wartawan Rusia menerusi panggilan video.

Menurut Zelensky, sebarang persetujuan harus menerima jaminan pihak ketiga dan dimasukan ke dalam referendum.

“Isu berhubung jaminan keselamatan, wilayah neutral dan status bukan nuklear untuk negara ini. Kami sedia melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, ketua perisikan tentera Ukraine, Kyrylo Budanov mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu merampas bahagian timur Ukraine. 

“Malah, ia dilihat satu percubaan untuk mewujudkan `Korea Utara dan Korea Selatan’ di Ukraine,” katanya dengan merujuk kepada perpecahan Korea selepas Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, seorang pegawai atasan Amerika Syarikat (AS) tampil menjelaskan bahawa AS tidak mempunyai dasar perubahan rejim di Rusia.

Tindakan itu berikutan Presiden AS, Joe Biden menerusi ucapan di Poland menegaskan Putin `tidak boleh kekal berkuasa’.   

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menjelaskan ucapan Biden hanya bermaksud Putin tidak boleh `diberi kuasa untuk melancarkan perang’ ke atas Ukraine atau di mana-mana sahaja.  

 

* RUNDINGAN DAMAI UKRAINE-RUSIA

Mesyuarat rundingan damai yang seterusnya antara Rusia dan Ukraine akan diadakan di Turki.

Menerusi panggilan telefon dengan Putin, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bersetuju untuk mengadakan rundingan tersebut di Istanbul.  

Menurut Pejabat Presiden, Erdogan menegaskan keperluan gencatan senjata serta-merta dan langkah menangani krisis kemanusiaan di rantau itu.

Wakil perunding dari Ukraine dan Rusia mengesahkan rundingan secara bersemuka akan diadakan.

Sementara itu, jurucakap perunding Ukraine, David Arakhamia mengesahkan pusingan kedua rundingan konflik antara Kyiv dan Moscow sudah bermula semalam.

“Dalam satu mesyuarat yang sedang berlangsung, mereka memutuskan untuk mengadakan rundingan secara bersemuka antara kedua-dua delegasi di Turki sehingga 30 Mac ini,” katanya dalam satu status dimuat naik di Facebook.

Perunding utama Rusia, Vladimir Medinsky mengesahkan rundingan kedua dengan Ukraine.

Namun, beliau mendakwa rundingan itu akan bermula hari ini dan berakhir pada Rabu.

Rusia dan Ukraine gagal mencapai kata sepakat pada rundingan peringkat tinggi yang pertama kali diadakan membabitkan kedua-dua pihak pada 10 Mac lalu sejak pencerobohan Moscow.

Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara berkala melalui persidangan video namun menawarkan harapan tipis untuk mencapai sebarang kemajuan.

Malah, kedua-dua pihak menyifatkan usaha itu sebagai `amat sukar’. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.