NEW DELHI: Pakistan memberi amaran insiden tembakan peluru berpandu oleh India yang mereka dakwa dilancarkan secara tidak sengaja boleh ‘mencetuskan peperangan di Asia Selatan’.
Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha berkata, Pakistan sudah pun memaklumkan perkara tersebut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, Pakistan menerusi surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Presiden Majlis Keselamatan PBB menyatakan ‘kebimbangan dan keseriusan’ mereka mengenai insiden tersebut.
“Pelancaran peluru berpandu yang tidak disengajakan itu boleh menyebabkan berlakunya peperangan yang tidak disengajakan di Asia Selatan.
“Insiden itu juga menimbulkan beberapa ‘soalan yang perlu dijawab’ oleh India,” katanya.
Pakistan juga memaklumkan, pihaknya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak berkuasa India sebelum ini..
Kementerian Pertahanan India pada 11 Mac lalu menyatakan ‘masalah teknikal’ menyebabkan peluru berpandu milik negara itu dilancarkan secara tidak sengaja ke Pakistan semasa rutin penyelenggaraan dilakukan.
Menterinya, Rajnanth Singh, berkata negara itu akan menjalankan kajian semula prosedur operasi standardnya untuk menguruskan sistem senjata canggih.
Selain itu, beliau turut menegaskan sistem peluru berpandu India adalah ‘sangat boleh dipercayai dan selamat’.
Namun, sehingga kini, India tidak menyatakan jenis senjata yang terbabit dalam insiden tersebut. – BERNAMA