Rusia tidak takut bertempur dengan NATO

Rusia tidak takut bertempur dengan NATO

PASUKAN tentera Amerika Syarikat (AS) berada berhampiran kem ketenteraan di Arlamow, tenggara Poland yang berdekatan dengan sempadan Ukraine pada 3 Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memberi amaran mengenai penghantaran misi pengaman ke Ukraine boleh mencetuskan ‘pertempuran secara langsung’ antara Rusia dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). 

Lavrov menjelaskan sebarang kemungkinan konfrontasi antara tentera Rusia dengan pasukan NATO boleh mencetuskan akibat yang jelas dan sukar untuk diperbaiki. 

“Saya harap mereka faham apa yang dibincangkan kerana ini akan menjadi pertembungan secara langsung antara angkatan bersenjata Rusia dan NATO. 

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku pada dasarnya,” katanya di Institut Perhubungan Antarabangsa Moscow, Rabu lalu.  

Minggu lalu, Poland menghantar permohonan secara rasmi bagi misi pengaman ke Ukraine semasa Sidang Kemuncak NATO.

Dalam pada itu, Moscow juga menuduh Kyiv ‘menjejaskan peluang rundingan damai’ apabila menuntut perkara yang tidak sepatutnya dari Rusia.

 

AS ‘PEGANG’ UKRAINE

Ukraine pula pada masa sama menegaskan mahu berunding, tetapi sesekali tidak akan menyerah kalah kepada Rusia.

Lavrov menjelaskan, sikap pihak berkuasa Ukraine yang ‘menolak cadangan mereka sendiri’ secara tidak langsung menyukarkan kata putus dicapai antara Rusia dan Ukraine.

Beliau menyatakan, hal ini kerana ‘tangan Ukraine dipegang oleh Amerika Syarikat (AS)’, sekali gus menyukarkan Kyiv membuat keputusan yang mereka ingini.

Lavrov turut menyelar AS sebenarnya tidak mahu melihat peperangan ini berakhir dengan baik, malah mengharapkan sesuatu yang lebih teruk berlaku.

“Disebabkan itu, AS sering mempengaruhi keputusan yang dibuat Ukraine.

“AS terus membekalkan senjata kepada Ukraine dengan harapan peperangan ini akan berterusan menjadi lebih teruk,” katanya.

Lavrov juga menyatakan Ukraine tidak berpendirian tetap apabila sering mengubah tuntutan mereka.

Malah, Ukraine sendiri menyedari keadaan itu sehingga Presidennya, Volodymyr Zelensky mengakui rundingan dengan Rusia adalah sukar.

 

KONFLIK BERLANJUTAN 

Semalam, genap sebulan peperangan antara Rusia dan Ukraine, menyaksikan suku penduduk negara itu menjadi pelarian, selain tiada tanda bila konflik antara kedua-dua negara akan berakhir.

Rabu lalu, tentera Rusia mengebom kawasan di ibu negara Kyiv, semasa pemimpin Barat mula berkumpul di Brussels bagi merancang lebih banyak sekatan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Putin bagaimanapun dilihat tidak mempedulikan langsung sekatan Barat yang secara jelasnya memberi kesan besar terhadap ekonomi Rusia.

Beliau sebaliknya membuat perancangan untuk mengubah jualan sumber gas kepada negara ‘bukan sekutu’ sekali gus mengejutkan pasaran antarabangsa. 

Dalam perkembangan lain, sumber mendedahkan terdapat tanda-tanda keretakan dalam pentadbiran Moscow, apabila pegawai kanan Putin, Anatoly Chubais meletak jawatan kerana perang Ukraine. 

Beliau juga dilaporkan meninggalkan Rusia dan tidak berhasrat untuk kembali ke negara ini.

Sementara itu, biarpun berdepan tentangan sengit dari tentera Ukraine sehinga menggagalkan harapan Rusia untuk menang dengan mudah, tentera Moscow dilaporkan masih melancarkan pengeboman di beberapa kawasan bandar. 

Seorang penduduk Ukraine, Kateryna Mytkevich, 38, berkata, serangan demi serangan berlaku menyebabkan orang awam terpaksa mencari perlindungan di bawah tanah. 

Katanya, dia bersama anaknya baru tiba di hab transit di Przemysl, sempadan Poland, selepas melarikan diri dari bandar timur Cherniviv. 

“Saya tidak pernah melihat kekejaman seperti itu sebelum ini. Bandar itu musnah sepenuhnya,” katanya. – REUTERS  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN