COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka mengarahkan pasukan tentera berkawal di sejumlah stesen minyak hari ini selepas ribuan penunggang motosikal melancarkan protes susulan kekurangan bekalan bahan api tersebut.
Sri Lanka ketika ini berdepan dengan krisis ekonomi terburuk sehjak merdeka pada 1948, menyaksikan bekalan elektrik di banyak tempat terputus, keperluan asas termasuk makanan dan gas masak mengalami kekurangan.
Menurut pihak berkuasa, pasukan tentera ditempatkan selepas ribuan penunggang motosikal menghalang jalan-jalan utama di Colombo kerana mereka gagal mendapatkan petrol, menyebabkan kesesakan trafik selama beberapa jam.
Selain itu, sekumpulan wanita turut membuat tunjuk perasaan selepas gagal mendapatkan bekalan kerosin untuk kegunaan memasak.
Protes yang tercetus sejak Sabtu lalu itu menyaksikan sekurang-kurangnya tiga warga emas maut.
Keadaan yang meruncing menyebabkan kerajaan Sri Lanka memanggil semua parti politik untuk mengadakan mesyuarat kecemasan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
Namun, parti pembangkang dilaporkan mahu memboikot mesyuarat tersebut. – AFP