JAWA TIMUR: Sesi perbicaraan di Mahkamah Pengadilan Negeri Jombang diselubungi kesedihan selepas Tubagus Muhammad Joddy Pramas Setya menitiskan air mata.
Lapor Kompas.com, Tubagus merupakan pemandu kereta yang menyebabkan pelakon Vanessa Angel dan suaminya, Bibi Adriansyah maut dalam kemalangan jalan raya di Tol Nganjuk menghala ke Surabaya, Jawa Timur, tahun lalu.
Polis Jawa Timur mengesahkan pemandu kereta itu bermain telefon bimbit ketika memandu kereta.
Tubagus meminta jasa baik pihak hakim meringankan hukuman terhadap dirinya ketika defendan diberikan peluang membuat pembelaan.
“Saya meminta keringanan untuk hukuman yang akan diputuskan oleh pihak Hakim yang mulia,” katanya.
Ketua Majlis Hakim, Bambang Setyawan meminta Tubagus memberikan alasan rayuan tersebut.
Tubagus kemudian menjelaskan dia mahu ziarah ke kubur Vanessa dan suaminya, Febri Adriansyah.
Selain itu, dia juga berharap dapat bertemu keluarga Vanessa dan Bibi untuk menyampaikan permintaan secara langsung.
“Saya mahu bacakan yasin dan ingin meminta maaf secara langsung kepada ahli keluarga yang ditinggalkan.
“Saya juga menyesal kerana perbuatan itu menyebabkan kematian,” katanya.