Palsukan jenama minyak masak, gudang milik anak ahli politik diserbu - Utusan Malaysia

Palsukan jenama minyak masak, gudang milik anak ahli politik diserbu

POLIS menyita sebuah gudang minyak masak di Depok, Jawa Barat. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEPOK: Ketika masalah kekurangan bekalan minyak masak masih belum selesai, sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menipu pembeli.

Sebuah gudang minyak masak di Sawangan, Depok diserbu pihak berkuasa selepas pengusahanya didakwa melakukan penipuan dengan membungkus semula minyak masak menggunakan bungkusan pelbagai jenama lain.

Jurucakap polis Depok, Yogen Heroes Baruno berkata, pengusaha gudang itu membeli minyak masak secara pukal dan membungkusnya semula dalam paket lebih kecil bersaiz satu dan dua liter.

“Modus operandinya adalah dengan membeli minyak masak jenama lain dalam kuantiti tertentu, kemudiannya membungkus semula dalam paket yang lebih kecil menggunakan plastik pembungkus yang tertera pelbagai jenama.

“Polis kini masih menyiasat jika minyak masak yang dibungkus semula itu belum dipakai atau sudah dikitar semula,” katanya kepada Kompas.com.

Selain itu, gudang itu juga tidak mempunyai dokumen pendaftaran perdagangan dan perkara tersebut terbongkar selepas pihak berkuasa melakukan pemeriksaan berikutan ramai pembeli membuat aduan minyak masak yang dibungkus tidak jernih seperti minyak masak lain.

Malahan, gudang itu turut tidak memiliki sijil halal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa kesihatan.

“Gudang itu sudah pun beroperasi selama empat tahun dan hasil serbuan tersebut, polis merampas sebanyak 2,300 liter minyak masak yang sudah siap dibungkus dan bakal diedarkan ke beberapa kedai runcit.

“Dianggarkan sebanyak 40 kedai runcit menerima bekalan minyak masak dari gudang ini,” ujar Yogen.

Sementara itu, Yogen turut mendedahkan gudang tersebut merupakan milik keluarga anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Barat.

“Benar, pengusaha gudang minyak ini merupakan anak kepada anggota DPRD Jawa Barat dan kami akan meneruskan siasatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya