BANGKOK: Mahkamah Jenayah Pusat bagi kes rasuah dan salah laku Thailand akan memutuskan hukuman bagi tujuh anggota polis yang didakwa melemaskan seorang suspek dadah sehingga mati dengan beg plastik, 8 Jun depan.
Kesemua tertuduh menghadapi empat pertuduhan iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penyeksaan menyebabkan kematian dan paksaan terhadap mangsa.
Mengikut kertas pertuduhan, mangsa, Jirapong Thanapat, 24, ditahan bersama teman wanitanya selepas mereka didakwa menjual dadah jenis methamphetamine di Nakhon Sawan di timur laut Thailand, 5 Ogos lalu.
Bekas Ketua Polis Nakhon Sawan, Thitisan Utthanaphon yang digelar sebagai Joe Ferrari kerana gaya hidupnya yang mewah dan kaya mengendalikan soal siasat terhadap mangsa.
Sebuah video kemudian tular dalam media sosial yang menunjukkan mangsa sesak nafas dengan kepala ditutup dengan beg plastik, selepas pegawai terbabit meminta wang sebanyak dua juta baht (RM250,597).
Tindakan itu didakwa dilakukan untuk memaksa mangsa menggandakan bayaran ikat jamin.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya.
Susulan itu, ibu bapa mangsa menuntut ganti rugi 1.55 juta baht (RM194,213) daripada tujuh bekas polis sebagai pampasan terhadap kematian anak mereka.
Kesemua tujuh bekas pegawai itu mengaku mereka tidak berniat membunuh mangsa.
Awal bulan ini, Joe Ferrari meminta pemerhati hak asasi manusia disekat daripada menghadiri perbicaraan kes penyeksaan dan pembunuhan tahanan.-AGENSI











