Jirat Cina Jalan Pusara di Kuala Terengganu terbakar kali keempat 

Jirat Cina Jalan Pusara di Kuala Terengganu terbakar kali keempat 

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuala Terengganu bertungkus-lumus memadam kebakaran di kawasan Jirat Cina Jalan Pusara, Kuala Terengganu, Terengganu.- IHSAN BOMBA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kebakaran di kawasan jirat Cina di Jalan Pusara di sini, menimbulkan kebimbangan apabila dilaporkan berlaku sebanyak empat kali dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.

Difahamkan, satu kes direkodkan pada Januari dan meningkat kepada tiga kes sepanjang bulan ini dengan semuanya berlaku di lokasi sama. Situasi itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat berikutan kekerapan kejadian yang dilihat luar biasa serta berpotensi menjejaskan keselamatan kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan kebakaran di kawasan tersebut sejak awal tahun ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran yang berlaku melibatkan kawasan jirat dan tidak menjejaskan struktur lain di sekitarnya.

“Berdasarkan rekod, terdapat satu kejadian pada Januari, tiada kes pada Februari dan tiga kejadian direkodkan setakat Mac ini, menjadikan keseluruhannya empat kes dan semuanya berlaku di lokasi  sama.

“Kita tidak menolak kemungkinan kebakaran ini berpunca daripada faktor kecuaian atau unsur lain, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba terus memantau kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian berulang dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN