JAKARTA: Sejumlah masjid di Jakarta bersetuju untuk melaksanakan solat tarawih secara berjemaah dan rapat saf sepanjang Ramadan, biarpun pandemik Covid-19 belum reda sepenuhnya.
Antaranya Masjid Istiqlal di Jakarta Pusat dan Timbalan Ketua Bidang Penyelarasan Ibadat masjid berkenaan, Abu Hurairah berkata, pelbagai aktiviti keagamaan akan diadakan seperti biasa sepanjang Ramadan berlangsung.
Antaranya termasuk tadarus al-Quran, kuliah subuh, sahur dan berbuka puasa beramai-ramai.
“Pandemik Covid-19 masih belum reda, tapi itu juga tidak bermakna kita tidak boleh menghayati bulan Ramadan dengan penuh kesyukuran dan keikhlasan.
“Kita akan anjurkan pelbagai program untuk para jemaah, sama seperti sebelum pandemik Covid-19.
“Namun, harus diingatkan juga bahawa para jemaah masih perlu menjaga kebersihan dan sentiasa ingat bahawa Covid-19 masih ada, jangan sambil lewa,” katanya kepada CNN Indonesia.
Pada tahun lalu, masjid itu melaksanakan Tarawih mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu menjaga jarak sosial dan jemaah perlu memakai pelitup muka.