MEDAN: ‘Saya tahu risiko untuk duit itu hilang adalah tinggi, namun saya lebih tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan’.
Itulah adalah luahan seorang daripada mangsa penipuan skim pelaburan haram menggunakan aplikasi Binomo dan Quotex sejak Ogos tahun lalu.
Jelas mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai VA, dia mula terpengaruh dengan pelaburan haram itu selepas menonton video seorang daripada rakannya yang kononnya ‘menjadi kaya-raya’ selepas terlibat dalam pelaburan berkenaan.
“Keluarga saya, isteri saya tidak tahu saya masuk pelaburan itu.
“Selepas duit simpanan saya habis, saya pajak kereta saya dan duitnya digunakan untuk melabur dan selepas duit pajak habis, saya jual kereta pula untuk dapatkan lebih banyak duit,” katanya. kepada Kompas.com.
Menurut pakar psikologi dari Hospital Siti Fatimah di Palembang, Dr. Syarkoni, keuntungan yang lumayan secara tidak langsung membuatkan mangsa sering ‘berfantasi untuk menjadi kaya dengan cara mudah’.
Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia juga menjadi antara pendorong utama kepada golongan tersebut lebih mempercayai pelaburan haram itu lebih mudah untuk membuat duit.
“Mangsa sering dihidangkan dengan fantasi yang kononnya mereka tidak perlu bersusah payah untuk dapatkan duit yang banyak.
“Mereka sedar akan risiko yang bakal berlaku, termasuk kehilangan duit, namun fantasi itu melebihi kebimbangan mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang dijanjikan dan sentiasa berpijak pada bumi nyata bahawa ‘bukan senang untuk menjadi kaya’.
Terdahulu, pihak berkuasa menahan beberapa pempengaruh media sosial yang didakwa melakukan penipuan pelaburan sehingga menyebabkan banyak mangsa mengalami kerugian besar.