Lebih 2,000 orang terbunuh dalam serangan Rusia di Mariupol - Utusan Malaysia

Lebih 2,000 orang terbunuh dalam serangan Rusia di Mariupol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Lebih 2,000 orang terbunuh di bandar Mariupol sejak tentera Rusia melancarkan serangan di Ukraine.

Majlis perbandaran Mariupol mendedahkan angka kematian itu ketika Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberi amaran penduduk di bandar pelabuhan itu menghadapi `senario paling buruk’.

“Setakat ini, seramai 2,187 penduduk Mariupol terkorban akibat serangan tentera Rusia,” jelas majlis perbandaran bandar itu menerusi Telegram.

Menurut majlis perbandaran itu, sejak konflik di Ukraine bermula pada 24 Februari lalu, tentera Rusia sudah melancarkan kira-kira 100 serangan bom di bandar itu termasuk 22 dalam tempoh 24 jam sebelum ini.

Pihak berkuasa Ukraine berkata, Mariupol menjadi sasaran serangan bom tanpa henti sejak tentera Rusia menawan bandar itu pada 2 Mac lalu.

Sejak itu, kira-kira 400,000 penduduk yang tinggal di Mariupol tidak mempunyai akses kepada bekalan air, makanan dan ubat-ubatan.

Malah, bekalan elektrik, perkhidmatan telefon terputus di kebanyakan kawasan di bandar itu.

Sementara itu, Presiden ICRC, Peter Maurer menggesa semua pihak yang terlibat dalam pertempuran untuk menghentikan konflik dan `memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan’ terlebih dahulu.

Katanya, satu perjanjian yang konkrit harus dilaksanakan supaya orang awam boleh meninggalkan bandar dengan selamat dan bantuan kemanusiaan boleh sampai di kawasan yang diperlukan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN