MADRID: Langit di beberapa bahagian Sepanyol bertukar menjadi kuning keemasan selepas debu dari gurun Sahara tersebar melintasi Mediterranean.
Lapor Mirror, ribut Celia membawa debu dari padang pasir tersebut ke bahagian selatan Sepanyol.
Ruang udara Madrid dan Murcia antara kawasan diterangi gumpalan pasir berwarna jingga.
Makmal Klimatologi di Universiti Alicante memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berada di luar rumah untuk tempoh yang lama.
“Mereka juga mengesyorkan pemakaian pelitup muka selepas pegawai Sepanyol mengeluarkan penilaian kualiti udara buruk,” jelas laporan itu.
Di beberapa bahagian pula, penduduk tempatan dinasihatkan untuk mengelak daripada melakukan aktiviti senaman di luar rumah.
Dilaporkan, perubahan kualiti udara juga menjejaskan Kepulauan Canary dan Kepulauan Balearic.
Beberapa pakar kini memberi amaran debu tebal itu sedang menuju ke United Kingdom.
Penyampai berita cuaca BBC, Carol Kirkwood berkata, kualiti udara buruk juga dapat dirasai di beberapa kawasan di Britain.
“Kualiti udara buruk dilaporkan di beberapa bahagian di Sepanyol dan ia boleh menjejaskan penduduk di tenggara dan Anglia Timur,” katanya.