LONDON: Syarikat penerbangan, British Airways mungkin akan membenarkan kru kabin lelaki mengenakan gaya rambut ‘bun’ atau sanggul dan mewarnakan kuku mereka.
Peraturan baharu itu dibuat selepas syarikat penerbangan tersebut melakukan semakan semula terhadap dasar pakaian seragam dilaksanakan selama ini.
Lapor Daily Mail, menurut seorang sumber dalaman syarikat, kakitangan dimaklumkan bahawa perubahan itu mungkin membabitkan penghapusan peraturan khusus jantina pada gaya rambut, solekan dan pengilat kuku.
Baru-baru ini, British Airways mengesahkan syarikat itu sedang meneliti garis panduan pakaian seragam kakitangannya namun setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat.
Bagaimanapun, sumber berkata, peraturan baharu mungkin akan membenarkan kakitangan lelaki berambut panjang dan memakai pengilat kuku mulai musim bunga tahun depan.
Ia bakal dilaksanakan selepas dasar pakaian seragam kakitangan yang diubahsuai diperkenalkan.
Sumber memaklumkan buat masa ini syarikat penerbangan itu tidak menguatkuasa dasar pakaian seragam semasa.
Malah, katanya, beberapa kru kabin lelaki sudah mula bersanggul atau mengikat rambut mereka ketika bekerja.
Garis panduan pakaian seragam British Airways biasanya dilaksanakan mengikut jantina.
Namun, British Airways baru-baru ini cuba memodenkan imej syarikatnya, dengan menghapuskan penggunaan ‘tuan dan puan’ ketika membuat pengumuman di dalam pesawat supaya semua pelanggan berasa dialu-alukan.