SEMARANG: Kes pembunuhan melibatkan ibu dan anak yang mayat mereka dibuang di bawah jambatan di tol Bawer, Semarang mendapat perhatian pelbagai pihak.
Malah, Ketua Siasatan Jenayah Polis Jawa Tengah, Djuhandhani Rahardjo Puro tidak dapat menahan kesedihan ketika mengadakan sidang akhbar mengenai kes tersebut.
“Kami dari keluarga besar Polis Jawa Tengah ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas musibah yang berlaku.
“Semoga roh mangsa dan anaknya tenang dan keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Menurut Djuhandhani, kes bermula selepas satu mayat wanita ditemukan di bawah jambatan di tol berkenaan pada 13 Mac lalu dan tiga hari kemudian, satu mayat kanak-kanak ditemukan di lokasi sama.
Hasil siasatan mengenal pasti identiti mayat wanita itu sebagai Sweetha Kusuma Gatra Subardiya, 33, merupakan petugas kesihatan berasal dari Yogyakarta, manakala mayat kanak-kanak itu adalah seorang daripada anak Sweetha berusia lima tahun.
“Mulanya Sweetha dilaporkan hilang sebelum polis menemukan mayatnya dalam keadaan membengkak dengan luka di leher dan kedua kakinya diikat.
“Tiga hari kemudian, polis menemukan pula mayat anak Sweetha dalam keadaan bogel dan kanak-kanak itu dipercayai dibunuh terlebih dahulu sebelum ibunya.
“Polis berjaya menahan suspek, Dony Christiawan Eko Wahyudi ketika dia berpura-pura membuat laporan mengenai individu hilang,” kata Djuhandhani.
Berdasarkan soal siasat, Dony mengakui membunuh anak Sweetha dengan mengurungnya dalam bilik dan tidak diberi makan selama beberapa hari sehingga kanak-kanak itu mati pada 20 Februari lalu.
Dony memaklumkan dia merupakan tunang Sweetha dan menawarkan diri untuk menjaga anaknya ketika wanita itu bekerja.
“Pada 7 Mac, suspek bertemu dengan Sweetha kerana wanita itu mahu berjumpa dengan anaknya sebelum dia dibawa ke sebuah hotel.
“Setibanya di hotel, Dony yang panik kerana didesak Sweetha untuk berjumpa anaknya terus memukul wanita itu sehingga mati sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam guni dan dibuang di bawah jambatan tol.
“Tiga hari kemudian, Dony membuang pula mayat anak Sweetha di lokasi sama dan suspek mengakui dia membunuh Sweetha kerana cemburu melihat tunangnya melambai tangan dengan seseorang sebelum itu,” ujar Djuhandhani.
Sementara itu, Dony berdepan penjara seumur hidup jika disabit kesalahan dan keluarga korban meminta supaya dia dihukum mati.