PETALING JAYA: Satu sistem perlu diwujudkan bagi memudahkan kaedah pemantauan terhadap barangan larangan yang dibawa oleh murid ke sekolah.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, sistem berkenaan boleh melibatkan seramai empat guru disiplin yang bertugas mengikut penggiliran bagi menjalankan pemeriksaan mengejut di setiap kelas.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan murid-murid tidak membawa sebarang peralatan berbahaya yang boleh mengundang risiko keselamatan di sekolah.
“Selain itu, pihak kaunselor di sekolah perlu berperanan sebagai detekfif dengan melibatkan peranan kelab kaunseling.
“Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) misalnya dapat mengadu kepada pihak kaunselor sekiranya berlaku insiden pergaduhan atau mengenal pasti sebarang tanda masalah kesihatan mental dalam kalangan murid.
“Mereka yang akan bertindak dengan mengenal pasti tingkah laku setiap murid sekali gus dapat memupuk budaya sihat, aman dan selamat di kawasan sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan pihak pentadbir sekolah diberi kuasa penuh dan berhak melakukan pemeriksaan beg sekolah pelajar serta merampas barangan yang dianggap berbahaya dan dilarang termasuk telefon bimbit.
Langkah itu bagi memastikan tahap keselamatan di sekolah sentiasa terjamin tanpa menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2009 telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas berhubung penguatkuasaan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh murid di sekolah.
Alimuddin berkata, badan pengawas juga perlu memainkan peranan proaktif yang menjadi ‘mata-mata’ kepada pihak pentadbir sekolah.
Katanya, bukan mudah bagi mana-mana sekolah untuk mengenal pasti sebarang tingkah laku tidak normal atau boleh mengundang bahaya terhadap setiap murid.
“Bayangkan kalau sebuah sekolah ada seramai 1,500 murid, sudah tentu ia memerlukan sokongan pelbagai pihak bagi mengenal pasti setiap masalah yang berlaku.
“Ibu bapa juga perlu kerap memeriksa beg anak dan sentiasa mengambil perhatian terhadap tingkah laku anak mereka,” katanya. – UTUSAN










