Israel kembali serang selatan Gaza, lancar operasi robohkan bangunan 

Israel kembali serang selatan Gaza, lancar operasi robohkan bangunan 

SEORANG lelaki Palestin menaiki kereta keldai berhampiran blok konkrit garis kuning yang diletakkan tentera Israel di Bureij, tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pasukan tentera Israel melancarkan serbuan besar-besaran, bedilan senjata berat dan operasi merobohkan bangunan di selatan Gaza.

Menurut laman berita Walla, tentera Israel turut menyasarkan kawasan di timur Khan Younis dari udara dan menyerang lokasi berhampiran kem pelarian Bureij pada waktu tengah malam.

Laporan itu turut menyatakan pasukan Israel melepaskan tembakan ke arah rumah-rumah penduduk di sebelah timur Gaza City.

Pasukan Palang Merah dan Al Qassam didakwa terpaksa menamatkan operasi pencarian mereka di Shuja’iyya tanpa menemui tebusan Israel selepas pasukan tentera meneruskan operasi maut di seluruh Gaza walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- abangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberitahu Al Jazeera, badan itu berdepan lebih banyak kesukaran untuk mengagihkan bekalan kali ini berbanding gencatan senjata yang lalu ekoran tindakan melampau tentera rejim.

Sedia sambung perang

Usaha meneruskan fasa kedua gencatan senjata juga terus menjadi tanda tanya selepas Menteri Tenaga dan Infrastruktur Israel, Eli Cohen mendakwa Tel Aviv akan kembali melancarkan operasi ketenteraan secara intensif di Semenanjung Gaza sebaik sahaja isu tebusan selesai.

Cohen menyatakan Hamas tidak akan menyerahkan senjata mereka secara sukarela dan tiada pasukan antarabangsa yang akan berjaya melucutkan senjata kumpulan itu.

Dalam wawancara dengan Saluran 7 Israel, beliau menegaskan Israel sedang bersiap sedia untuk menyambung semula perang.

“Kami sudah bersedia dan kini kami mempunyai ruang tindakan yang lebih luas selepas para tebusan yang masih hidup kembali bertemu keluarga mereka,” katanya.

Katanya, pentadbiran Israel percaya masa akan berpihak kepada mereka dalam konflik yang sedang berlangsung, mendakwa Hamas sedang hidup dalam tempoh yang ‘dipinjamkan’.

Cohen berkata, Tel Aviv sudah membuktikan kemampuannya untuk mencapai matlamatnya, sama ada di Lubnan, Syria, atau terhadap Hamas di Gaza.

Beliau juga menegaskan Israel mempunyai pengaruh yang signifikan untuk digunakan pada masa hadapan, sambil menyatakan tentera rejim kini mengawal lebih daripada separuh Semenanjung Gaza, selain lintasan sempadan, Koridor Philadelphi dan laluan bantuan kemanusiaan.

“Kami meninggalkan ruang pengaruh yang luas untuk mencapai apa yang kami inginkan,” kata Cohen menutup kenyataan.

Tolak bantuan musim sejuk

Sementara itu, menurut Majlis Pelarian Norway (NRC), ratusan ribu rakyat Palestin yang dipindahkan di Gaza masih tidak mempunyai tempat perlindungan yang sesuai ketika hujan dan cuaca sejuk mula melanda.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, NRC berkata, pihak berkuasa Israel menolak 23 permohonan daripada sembilan agensi bantuan untuk membawa masuk bahan perlindungan penting seperti khemah, kit penebat, tempat tidur dan selimut dengan hampir 4,000 palet keseluruhannya. 

Berjuta-juta barangan masih tersekat di Jordan, Mesir dan Israel, menunggu kelulusan.

Sekatan tersebut turut menyebabkan kira-kira 260,000 keluarga terdedah kepada keadaan yang semakin merosot.

“Kami hanya mempunyai masa yang sangat singkat untuk melindungi keluarga daripada hujan musim sejuk dan kesejukan.

“Gaza sepatutnya menerima limpahan bahan perlindungan, tetapi hanya sebahagian kecil daripada keperluan dibenarkan masuk,” kata Pengarah Serantau Asia Barat dan Afrika Utara NRC, Angelita Caredda.

Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang menggubal satu draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meluluskan mandat dua tahun untuk sebuah badan pentadbiran peralihan di Gaza dan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di wilayah Palestin.

Bagaimanapun perbincangan masih berlangsung dan kandungan draf berkemungkinan berubah.

Terdahulu, dokumen itu dikongsi dengan beberapa negara, namun belum diedarkan secara rasmi kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB bagi rundingan lanjut.

Jurucakap Jabatan Negara AS, menyatakan rundingan dengan anggota Majlis Keselamatan dan rakan kerjasama lain untuk melaksanakan pelan Gaza oleh Presiden AS, Donald Trump masih diteruskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN