Kes Nagaenthran: Hakim putuskan rayuan ‘tidak berasas’

Kes Nagaenthran: Hakim putuskan rayuan ‘tidak berasas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Mahkamah Singapura menolak rayuan terhadap pelaksanaan hukuman mati melibatkan seorang rakyat Malaysia yang disabitkan dengan kesalahan penyeludupan dadah.

Mahkamah Rayuan menolak hujah dikemukakan pasukan peguam bahawa Nagaenthran Dharmalingam perlu dikecualikan daripada hukuman itu kerana mengalami masalah ketidakupayaan mental dan merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, lapor Channel News Asia. 

Nagaenthran 33, berasal dari Ipoh menunggu hukuman mati selama lebih sedekad atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat 42.72 gram ke Singapura. 

Suspek ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodlands ketika melintasi sempadan Malaysia dan Singapura, dengan dadah itu didapati dilekatkan di paha kirinya. 

Singapura dikenali sebagai salah sebuah negara paling tegas dalam undang-undang penyeludupan dadah. 

Nagaenthran diwakili oleh peguam Violet Netto yang membuat rayuan atas alasan anak guamnya mengalami ketidakupayaan mental.

Bekas peguam defendan, Ravi Madasamy turut hadir semasa sesi rayuan dijalankan. 

Dalam perbicaraan sebelum ini, pihak peguam meminta masa agar penilaian psikiatri bebas dapat dijalankan ke atas Nagaenthran.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan Nagaenthran sedar apa yang dilakukan ketika melakukan jenayah itu.

Kes didengar di hadapan panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon.

Hakim menolak kes rayuan itu sebagai ‘tidak berasas dan tanpa merit serta kedua-duanya sebagai fakta dan undang-undang. 

“Dalam penghakiman kami, prosiding ini merupakan penyalahgunaan proses mahkamah secara terang-terangan dan mengerikan.

“Mereka seolah-olah mahu menangguhkan hukuman yang dikenakan ke atas defendan secara tidak wajar,” katanya. 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong supaya mempertimbangkan semula hukuman mati yang dikenakan. 

Sebelum ini, tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973. 

Akta itu memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pernah berkata, proses rayuan melalui mahkamah sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020, dan hukuman mati itu kekal dan akan dilaksanakan di Kompleks Penjara Changi, Singapura pada Rabu, 10 November 2021.

Kes Nagaenthran mendapat perhatian meluas di seluruh dunia termasuk Amnesty International, Human Rights Watch, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (FID) yang meminta Singapura tidak melaksanakan hukuman mati tersebut, sebaliknya diberikan pengampunan.

Malah, Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (ADPAN) yang disertai 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura berpendapat, tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah serta memiliki IQ serendah 69 dan dianggap OKU kerana menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya