Harga minyak: Arab Saudi, UAE enggan berbincang dengan US

Harga minyak: Arab Saudi, UAE enggan berbincang dengan US

RUSIA memberi amaran harga minyak mentah boleh mencecah lebih AS$300 (RM1,254). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Dua pemimpin de facto Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) enggan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berhubung krisis bahan api yang berlaku ketika ini susulan perang Rusia dan Ukraine.

Ketika ini, Washington dan sekutunya bekerja keras mengekang kenaikan harga bahan api susulan konflik Rusia-Ukraine memandangkan Moscow merupakan antara pembekal minyak utama kepada banyak negara Eropah.

Lapor Wall Street Journal, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan ‘tidak mahu melayan permintaan Biden’ yang ingin berbincang mengenai situasi semasa melibatkan sumber bahan api.

“Kami menjangkakan kedua-dua putera mahkota itu akan menghubungi AS bagi melakukan perbincangan, namun sehingga kini kami masih belum menerima sebarang panggilan,” menurut seorang pegawai kerajaan AS.

Selain itu, Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki turut mengesahkan tiada rancangan menyaksikan kedua-dua putera mahkota itu bakal mengadakan rundingan dengan Biden.

Biden juga dijangka tidak akan mengunjungi Riyadh dalam masa terdekat.

Pada minggu lalu, Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak dan sekutunya (OPEC+) yang turut dianggotai Rusia menolak untuk mengurangkan pengeluaran minyak biarpun didesak Barat.

Peperangan antara Rusia dan Ukraine menyaksikan kebanyakan negara di seluruh dunia mengenakan sekatan terhadap Moscow dengan yang terbaharu, AS melarang mengimport bahan api dari negara itu.

Kedua-dua negara Teluk itu dianggap sebagai satu-satunya pembekal global yang mempunyai kapasiti untuk mengepam lebih banyak minyak untuk mengurangkan lonjakan harga.

Hubungan Arab Saudi dan UAE dengan AS dilaporkan semakin tegang sejak Biden mengambil alih tampuk pentadbiran Washington.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya