EU sepakat tolak rayuan Ukraine untuk jadi negara anggota

EU sepakat tolak rayuan Ukraine untuk jadi negara anggota

EMMANUEL Macron bersama pemimpin EU lain bergambar di hadapan Istana Versailles, Paris. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Rayuan Ukraine kepada Eropah supaya menjadikan negara itu sebahagian daripada negara anggota Kesatuan Eropah (EU) terus tidak dilayan, malah ditolak oleh blok itu semasa mesyuarat di Istana Versailles, Perancis.  

Mesyuarat selama dua hari yang diadakan di Hall of Mirrors itu melibatkan 27 ketua negara EU. 

Mesyuarat itu antara lain turut membincangkan isu serangan di Ukraine dan krisis bekalan tenaga EU. 

Walaupun konflik serangan di Ukraine menyaksikan peningkatan sokongan dari EU kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, namun, para pemimpin menegaskan ia bukanlah laluan mudah dan adalah mustahil Kyiv menjadi sebahagian daripada ahli EU.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte antara pemimpin yang menekankan perkara tersebut. 

“Tiada jalan pantas bagi Ukraine. Saya mahu memberikan tumpuan terhadap apa yang boleh dilakukan kepada Zelenskyy semasa mesyuarat ini. 

“Penyertaan EU ke Ukraine adalah satu perkara yang perlu diteliti dalam jangka panjang,” katanya. 

Bekas negara blok timur pula mahu syarat lebih tegas berhubung keahlian EU yang diketuai Poland, selepas menyaksikan 1.5 juta pelarian membanjiri sempadannya. 

Perdana Menteri Slovenia, Janez Jansa berkata, ada yang berpendapat rakyat Ukraine berjuang untuk hidup mereka dan memberikan mesej politik yang sangat kuat. 

Namun, segelintir lagi katanya, masih membahaskan soal prosedur penyertaan keahlian EU.  

 

EU CARI JALAN

Bagaimanapun, Presiden Perancis, Emmanuel Macron tetap mengetuai sidang kemuncak krisis pencerobohan Rusia yang menjejaskan kestabilan Eropah sejak berdekad lalu. 

Pertempuran yang memasuki hari ke-15 di Ukraine menyaksikan bantahan dari negara kesatuan EU terhadap pengeboman Hospital Pediatrik dan Wad Bersalin di bandar Mariupol. 

Macron menggelarnya sebagai ‘tindakan perang yang memalukan’ dan pemimpin dari seluruh blok itu mengecam kekejaman Moscow. 

Sebelum peperangan tercetus, Macron bercita-cita meletakkan jalan bagi mengukuhkan kedudukan Eropah di persada dunia menerusi sidang kemuncak itu. 

Katanya, para pemimpin EU perlu meneroka cara meningkatkan kemandirian Eropah dalam dunia yang tidak stabil, terutamanya mengenai bekalan tenaga. 

 

KRISIS TENAGA

Konflik Rusia-Ukraine menyebabkan harga sumber tenaga melambung tinggi yang mengancam ekonomi dan mencetuskan perbincangan mendesak mengenai sumber gas dan minyak bagi warga Eropah. 

Masalah lebih meruncing dengan gelombang sekatan Barat terhadap Rusia yang turut memberi tekanan kepada pasaran tenaga. 

EU mengimport 40 peratus gas asli dari Rusia. 

Jerman yang merupakan kuasa ekonomi terbesar Eropah bergantung kepada aliran tenaga, termasuk Itali dan beberapa negara Eropah Tengah. 

Kira-kira satu per empat daripada import minyak EU juga datang dari Rusia. 

Kebergantungan Eropah kepada bekalan tenaga Rusia menyebabkan masalah pertama timbul selepas tindak balas bersatu Barat terhadap Vladimir Putin. 

Minggu ini, EU mengelak daripada mengenakan larangan import minyak Rusia seperti dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan Britain. 

Susulan itu, Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen berkata, 27 pemimpin bersetuju untuk meneroka kaedah menghapuskan kebergantungan terhadap bahan api fosil Rusia dalam tempoh lima tahun akan datang. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN