BANGKOK: Dua gempa bumi lemah dikesan melanda dua daerah di Wiang Pa Pao dan Mae Lao di Chiang Rai, utara Thailand.
Gempa bumi dikategorikan sebagai sangat lemah dan penduduk di kawasan tersebut tidak terjejas dan kemungkinan tidak merasainya.
Bahagian Pemerhatian Gempa Bumi melaporkan, gempa bumi berukuran 1.3 skala Richter pertama berlaku di daerah Wiang Pa Pao, 3.46 pagi tadi.
Gempa bumi kedua berukuran 1.1 skala Richter di daerah Mae Lao, 4.22 pagi.
Gempa bumi dengan 2.5 skala Richter atau kurang kebiasaannya tidak dirasai oleh penduduk di sesebuah kawasan.