Baruah dapat ilham hasilkan teh baharu guna nama Zelensky

Baruah dapat ilham hasilkan teh baharu guna nama Zelensky

PRODUK teh hitam Assam baharu menggunakan nama Zelensky di India.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sebagai tanda sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap Presiden Ukraine, syarikat pembuat teh India melancarkan jenama campuran baharu ‘Zelensky’ sebagai penghormatan terhadap pemimpin negara itu.

Ahli perniagaan di negeri Assam, timur laut India, Ranjit Baruah yang memiliki perniagaan Teh Aromica memperkenalkan teh campuran tersebut.

Jelasnya, perisa teh baharu itu digambarkan sebagai teh yang ‘sangat kuat’ pada label pembungkusannya.

“Saya sangat kagum dengan cara Zelensky menolak tawaran Amerika Syarikat bagi menyelamatkan diri, sebaliknya beliau hanya mahukan bekalan peluru.

“Ia jelas menunjukkan wataknya dan beliau tidak lari meninggalkan negaranya sendiri.

“Zelensky juga berupaya menunjukkan keupayaan Ukraine melawan tentera Rusia,” kataya kepada Arab News.

Baruah berkata, perwatakan dan kekuatan Zelensky menjadi ilham kepada penghasilan teh baharu tersebut.

“Elemen dan ramuan itu terkandung dalam teh hitam Assam. Teh itu kuat seperti perwatakan Zelensky,” jelasnya.

Teh campuran ‘Zelensky’ adalah teh buatan tangan yang melalui proses hancur, koyak dan keriting iaitu teknik baharu daun teh hitam melalui satu siri penggelek silinder.

Rusia merupakan pengimport terbesar teh India yang kebanyakannya dihasilkan di Assam.

Assam merupakan wilayah pemprosesan teh terbesar di dunia yang mempunyai 100,000 ladang menghasilkan 630,000 tan teh setahun.

Syarikat itu menyatakan tidak keberatan mengeksportnya ke pasaran Rusia.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN