SYDNEY: Puluhan ribu rakyat Australia terpaksa berpindah ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir melanda di kawasan pantai timur negara itu.
Lapor Al Jazeera, banjir kali ini menenggelamkan hampir keseluruhan pusat bandar, merosakkan kediaman dan memutuskan bekalan elektrik.
Sekurang-kurangnya 13 orang maut sejak cuaca ekstrem melanda negara itu pada minggu lalu.
Empat kematian terbaharu dilaporkan di bandar Lismore di New South Wales.
Pasukan kru kecemasan menjalankan kira-kira 300 operasi menyelamat banjir selepas mendapat lebih 2,200 panggilan bantuan semalam.
Beberapa helikopter tentera menyelamatkan mangsa yang berada di atas bumbung manakala pemandu terkandas dan haiwan diselamatkan dari sebuah jambatan selepas air naik secara mendadak sehingga menenggelamkan kedua laluan tersebut.
Dilaporkan, ribut kencang sedang bergerak ke selatan ke arah Sydney yang mempunyai populasi lebih lima juta penduduk.