BANGKOK: Seorang banduan maut, 31 yang lain cedera dan hilang penglihatan selepas mencampurkan pencuci tangan dengan air minuman bergas untuk mabuk.
Disebabkan itu, semua pencuci tangan yang mempunyai kandungan alkohol dilarang di penjara Thailand, lapor Thethaiger.
Sebelum ini, semua produk berasaskan alkohol dilarang di kawasan penjara, namun semasa pandemik Covid-19, kelonggaran diberikan susulan wabak menyerang ribuan banduan.
Pihak penjara akan menggantikan pembasmi kuman itu dengan sabun cecair.
Sekumpulan banduan di penjara yang terletak di wilayah Nong Bua Lamphu mencuri pencuci tangan dan mencampurkannya dengan minuman bergas.
Campuran tersebut dipercayai untuk menghasilkan minuman koktel.
Beberapa banduan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengambil minuman dalam kuantiti yang banyak.
Disebabkan itu, ada banduan yang maut dan hilang penglihatan, manakala yang lain mengalami muntah-muntah, pening kepala dan sakit perut.
Meminum pencuci tangan berasaskan alkohol boleh menyebabkan keracunan metanol dan menjadi buta atau maut.










