Australia dilanda hujan lebat luar biasa

Australia dilanda hujan lebat luar biasa

K
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWRENCE: Pasukan kecemasan mengarahkan 500,000 penduduk Sydney supaya bersiap sedia untuk berpindah selepas hujan lebat terus melanda pantai timur Australia sehingga mencetuskan banjir di beberapa kawasan dan meragut 13 nyawa.

Hujan lebat yang turun sejak seminggu lalu mengakibatkan paras sungai dan empangan meningkat mendadak, sekali gus menjejaskan kawasan sepanjang 800 kilometer.

Dari Brisbane ke Sydney, lebih 30 amaran berpindah dikeluarkan dan beberapa empangan melimpah dengan sejumlah di Sydney berisiko untuk pecah pada bila-bila masa.

Penduduk yang ketakutan mula berpindah ke tempat tinggi dan mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara.

Di bandar paling teruk terjejas iaitu di Lismore, air banjir meningkat lebih cepat berbanding yang dijangka pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Lucy Wise memberitahu, hujan tidak berhenti dan banjir terus meningkat menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri.

“Saya tidak pernah tengok hujan selebat ini sepanjang hidup saya dan kami berharap keadaan ini akan reda secepat mungkin,” katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan, hujan lebat dan banjir itu setakat ini meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa di Queensland dan New South Wales.

Fokus utama pasukan keselamatan kini adalah lima juta penduduk di Sydney kerana dibimbangi Empangan Warragamba yang membekalkan 80 peratus air ke bandar raya itu pecah pada bila-bila masa.

Paras air di empangan itu sudah pun melimpah sejak awal pagi semalam dan dijangka keadaan bertambah buruk dari semasa ke semasa.

Sydney ketika ini mengalami musim panas, namun hujan yang turun menjadikan bandar raya itu berdepan musim hujan paling lebat dalam tempoh 30 tahun lalu.

Pakar meteorologi menyifatkan perubahan iklim menyebabkan bencana alam yang melanda Australia menjadi semakin tidak terkawal, termasuk kebakaran hutan, taufan dan kemarau. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN