JAKARTA: Badan Kawalan Ubatan dan Makanan Indonesia (BPOM) memberi kelulusan kepada Universiti Airlangga untuk melakukan ujian klinikal vaksin Covid-19 keluarannya terhadap manusia.
Ketua BPOM, Penny K. Lukito berkata, selepas ujian klinikal terhadap manusia dijalankan dan hasilnya memberangsangkan, maka penggunaan kecemasan vaksin Merah Putih boleh dilakukan pada Julai ini.
“BPOM sudah memberikan kelulusan untuk Universiti Airlanggar dan PT Biotis Pharmaceuticals melakukan ujian klinikal terhadap vaksin Merah Putih.
“Kami sudah melakukan penelitian yang rapi sebelum memberi kebenaran kepada dua pihak berkenaan untuk melakuka ujian tersebut kerana ini melibatkan keselamatan dan kesihatan masyarakat,” katanya.
Menerusi kelulusan itu, Penny berharap industri vaksin di negara ini dapat dikembangkan dan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada rakyat.
“Kita berusaha untuk menjadikan vaksin yang dihasilkan anak bangsa sendiri dapat digunakan seperti vaksin Covid-19 keluaran antarabangsa,” ujarnya.
Vaksin Merah Putih juga dihasilkan dengan kerjasama beberapa pihak lain seperti Pusat Penyelidikan Biologi Molekular Eijkman.