ANKARA: Turki dan China menentang gelombang sekatan dari Barat yang dikenakan terhadap Rusia, susulan pencerobohan yang berlaku di Ukraine.
Kedua-dua negara itu juga mengelak daripada menggunakan perkataan seperti ‘mengutuk’ atau ‘pencerobohan’ bagi menggambarkan keadaan yang berlaku, sebaliknya hanya mengatakan serangan Moscow ‘tidak boleh diterima’.
Bagaimanapun, kedua-dua negara itu bersetuju supaya Rusia menyelesaikan konflik dengan Ukraine melalui meja rundingan.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menempelak reaksi daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan negara-negara Barat yang tidak begitu tegas terhadap serangan Rusia.
Beliau berharap, sidang kemuncak NATO Jumaat depan akan membawa kepada pendekatan lebih tegas terhadap konflik yang tercetus.
Turki yang merupakan negara anggota NATO terletak bersempadan Ukraine dan Rusia di Laut Hitam serta mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua negara.
Reccep Tayyip juga menggesa Rusia menamatkan serangan dan menyuarakan sokongan terhadap integriti wilayah Ukraine.
“NATO sepatutnya mengambil langkah lebih tegas dan tidak sepatutnya bertukar menjadi kutukan biasa.
“EU dan semua mentaliti Barat tidak menunjukkan pendirian tegas sedangkan sebelum ini sentiasa menasihati Ukraine,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden China, Xi Jinping menyokong krisis Ukraine diselesaikan melalui kaedah rundingan semasa menghubungi Presiden Rusia, Vladimir Putin, kelmarin.
Media tempatan CCTV melaporkan, Jinping menjelaskan ‘situasi di timur Ukraine berubah dengan begitu pantas dan China menyokong Rusia dan Ukraine menyelesaikan konflik menerusi kaedah rundingan.
Jelasnya, rundingan adalah penting bagi membentuk mekanisme keselamatan Eropah yang seimbang, berkesan dan mampan sekali gus mengelakkan mentaliti Perang Dingin berlaku.
Semasa panggilan telefon itu juga, Putin menjelaskan alasan melancarkan ‘operasi ketenteraan khas’ susulan NATO dan Amerika Syarikat tidak menghiraukan kebimbangan ancaman keselamatan terhadap Rusia.-AFP/REUTERS










