KHARKIV: Bunyi tembakan dan letupan menggegarkan bandar kedua Ukraine, Kharkiv hari ini ketika pasukan tentera Rusia memasuki bandar tersebut.
Kemasukan itu menyaksikan tentera Rusia dan Ukraine bertempur dan berbalas serangan.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan bandar itu menasihatkan penduduk supaya kekal di pusat perlindungan dan jangan melakukan tindakan terburu-buru.
“Pasukan tentera kita berjuang menghapuskan pihak musuh,” kata pemimpin Kharkiv, Oleg Sinegubov dalam Facebook.
Dalam pada itu, ibu kota Kyiv dilaporkan masih dalam kawalan Ukraine biarpun tentera Rusia didakwa menunjukkan kemaraan.
Kementerian Pertahanan Rusia sebelum ini memaklumkan tentera negara itu sudah pun memgepung Kherson di selatan dan bandar Berdyansk di tenggara Ukraine.
“Dalamm tempoh 24 jam, kedua-dua bandar itu sudah dikepung sepenuhnya,” menurut kementerian itu. – AFP