Saya suruh ayah pergi, tapi dia mahu pertahankan tanah air sehingga maut' - Utusan Malaysia

Saya suruh ayah pergi, tapi dia mahu pertahankan tanah air sehingga maut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHUGUIV, Ukraine: Seorang pemuda menangis di tepi mayat bapanya dengan keadaan sekeliling dipenuhi serpihan peluru berpandu di bandar Chuguiv, timur Ukraine ketika Rusia melancarkan serangan.

“Saya sudah suruh ayah pergi tinggalkan tempat ini, tapi dia masih di sini, ingin mempertahankan tanah airnya, namun dia akhirnya terkorban,” kata anaknya sambil menangis teresak-esak.

Di kawasan berhampiran, seorang wanita meraung meratapi situasi yang berlaku.

Pasukan bomba pula bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang berlaku akibat serangan peluru berpandu tersebut.

Kesan kemusnahan dapat dilihat apabila beberapa bangunan rosak teruk dengan tingkap dan pintu pecah.

Sergiy, 67, cuba menggunakan kaki meja untuk menutup tingkapnya yang pecah.

“Walau apa pun berlaku, saya akan duduk di sini, anak saya di Kyiv juga akan tinggal di sana, kami tidak akan meninggalkan Ukraine.

“Saya percaya tentera Rusia cuba menyasarkan pangkalan tentera udara yang terletak berhampiran, itu sebab mereka lancarkan peluru berpandu.

“Kami sudah jangka sasaran Rusia dan kami tidak terkejut pun, malah kami akan kekal di sini,” katanya.

Kepulan asap hitam dapat dilihat dari arah pangkalan udara tersebut.

Selain itu, pasukan polis masih menilai kesan kemusnahan yang berlaku tanpa memberikan maklumat lanjut.

Penduduk Ukraine ketika ini berpusu-pusu meninggalkan ibu negara Kyiv, menuju ke barat negara ini bagi mendapatkan perlindungan.

Ada juga dalam kalangan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing untuk melarikan diri daripada situasi tegang berkenaan.

Dalam pada itu, pasukan tentera Ukraine yang berkawal di Kyiv memberi jaminan mereka akan melindungi rakyat sebaik mungkin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN