Rusia kerah tentera ke timur Ukraine: Barat kelam-kabut

Rusia kerah tentera ke timur Ukraine: Barat kelam-kabut

KERETA kebal milik tentera Rusia dan Belarus menjalani latihan ketenteraan bersama di Brest, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin berusaha mahu meningkatkan sokongan apabila mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah kumpulan pemisah di Ukraine, sekali gus dilihat sebagai ‘tiket’ untuk menawan Kyiv.

Putin turut mengarahkan tentera Rusia yang berada di dua wilayah tersebut bersedia menentang ancaman sekatan Barat dalam satu langkah yang boleh mencetuskan peperangan. 

Menerusi dua dekri rasmi, Putin mengarahkan Kementerian Pertahanan melaksanakan ‘fungsi pengaman’ di wilayah yang dikuasai puak pemisah. 

Bagaimanapun, negara Barat tidak menganggap tindakan itu sebagai ‘langkah pengaman’, sebaliknya melihat krisis antara Rusia dan Ukraine sudah sampai ke kemuncak.

Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) berjanji akan mengenakan sekatan dengan pakej hukuman ekonomi lebih luas sekiranya pencerobohan benar-benar terjadi. 

Ketika berita pengiktirafan itu mula bertebaran sejak lewat malam kelmarin, ramai penduduk yang tidak percaya tetapi bersedia mempertahankan negara sekiranya diarahkan. 

Artem Ivaschenko, 22, yang berasal dari Donetsk memberitahu AFP, dia sangat ‘terkejut’ dengan berita pengiktirafan tersebut kerana merupakan ‘berita paling menakutkan’ sejak dia berpindah ke wilayah itu, lapan tahun lalu. 

“Saya tinggal di sini dan sudah kehilangan sebahagian tanah air kerana dirampas. Jadi, saya akan berusaha mempertahankannya,” luahnya. 

 

RUSIA DISEKAT

Presiden AS, Joe Biden, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz memberi amaran usaha Moscow ‘tidak akan dijawab’.

AS mengumumkan sekatan pertama menerusi White House dengan menjelaskan Biden akan mengeluarkan perintah eksekutif bagi ‘melarang pelaburan, perdagangan dan pembiayaan baharu oleh rakyat AS di kedua-dua wilayah pemberontak itu.

Seorang pegawai kepada Presiden Perancis berkata, EU sedang menyediakan senarai entiti dan individu Rusia untuk dikenakan sekatan sebagai tindak balas ‘berkadar’ terhadap pengiktirafan tersebut. 

Di Kyiv, Presiden Volodymyr Zelensky mengadakan mesyuarat majlis keselamatan negara. 

Beliau menuduh Russia melanggar wilayah kedaulatan Ukraine dan berkata, ia boleh membawa maksud Moscow menarik balik rundingan damai Minsk yang bertujuan menamatkan konflik pemisah di timur Ukraine.

Zelenskiy menegaskan, Ukraine mahu menyelesaikan krisis melalui diplomasi dan tidak akan sesekali menyerahkan kedaulatan kepada Rusia serta berjuang mempertahankan tanah air.

Terdahulu, dalam ucapan kebangsaan selama 65 minit yang disiarkan melalui televisyen dari pejabatnya di Kremlin, Putin mencerca bekas negara jiran Soviet, Ukraine sebagai sebuah negara gagal dan menjadi ‘boneka’ Barat. 

Putin berulang kali menegaskan negara itu adalah sebahagian dari Rusia. 

“Bagi mereka yang merampas dan memegang kuasa di Kyiv, kami menuntut operasi ketenteraan dihentikan serta-merta.

“Jika tidak, semua bertanggungjawab terhadap kemungkinan kesinambungan pertumpahan darah yang terletak sepenuhnya terhadap rejim yang berkuasa di Ukraine,” tegasnya. 

Menurut Putin, beliau perlu ‘mengambil keputusan yang sudah lama tertunggak untuk segera mengiktiraf kemerdekaan’ di kedua-dua wilayah itu. 

Beliau kemudian menandatangani perjanjian perkongsian dengan pemberontak yang mengisytiharkan kehadiran pasukan tentera Rusia adalah perlu bagi ‘mengekalkan keamanan dan keselamatan yang dipercayai’. 

 

PERJANJIAN DAMAI MUSNAH

Pengiktirafan itu secara tidak langsung menamatkan perjanjian damai yang kian goyah dalam konflik pemisah yang berlarutan sejak 2014, selepas Moscow menakluk Crimea dari Ukraine sehingga menyebabkan lebih 14,000 maut. 

Rusia kini mengerahkan tentera dengan sokongan pegawai pemisah dan Ukraine perlu menerima kehilangan sebahagian besar wilayah atau menghadapi konflik bersenjata terhadap jirannya yang jauh lebih berkuasa. 

Putin memberitahu Majlis Keselamatan Negara Isnin lalu, ‘tiada prospek’ bagi perjanjian damai Minsk 2015 yang bertujuan menyelesaikan konflik Ukraine. 

“Menggunakan Ukraine sebagai alat konfrontasi menimbulkan ancaman yang serius dan sangat besar kepada Rusia,” katanya.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan integriti Ukraine. 

Jawatankuasa COBR Kabinet UK mengadakan pertemuan dengan Menteri Luarnya, Liz Truss semalam berhubung ‘sekatan baharu ke atas Rusia’. 

Ketua EU, Ursula Von Der Leyen dan Charles Michel berjanji blok itu akan ‘bertindak balas dengan sekatan terhadap mereka yang terlibat dalam perbuatan haram itu’. 

 

KETEGANGAN MEMUNCAK

Ketegangan memuncak sejak beberapa hari lalu, selepas tercetusnya tembakan di timur Ukraine dengan puak pemisah dan beberapa siri insiden dilaporkan di sempadan Rusia. 

Pemantau dari badan keselamatan OSCE Eropah Isnin lalu, melaporkan lebih 3,000 pelanggaran gencatan senjata baharu di timur Ukraine sehari sebelum insiden tembakan. 

Pegawai Ukraine berkata, seramai dua tentera dan seorang rakyat awam maut ketika serangan di kawasan perkampungan barisan hadapan tercetus. 

 

DISELAR PBB 

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak pengumuman Rusia yang mengiktiraf kemerdekaan wilayah Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine. 

Kenyataan dari Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan beliau tetap mengiktiraf kedaulatan Ukraine seutuhnya. 

“Resolusi PBB mendukung penuh kedaulatan, kemerdekaan dan kesatuan wilayah Ukraine dengan kawasan sempadannya,” katanya dalam kenyataan. 

Antonio berkata, tindakan Rusia itu merupakan satu bentuk pelanggaran terhadap kesatuan wilayah dan kedaulatan Ukraine. 

Jelasnya, Rusia secara jelas tidak konsisten dengan prinsip-prinsip piagam PBB. 

“Saya menggesa semua pihak berkaitan memberikan tumpuan kepada usaha untuk berundur segera daripada permusuhan termasuk melindungi orang awam dan infrastruktur. 

“Hal ini bagi mengelakkan sebarang tindakan dan kenyataan yang menambahkan ketegangan dalam situasi berbahaya di dalam dan sekitar Ukraine. 

“Proses diplomatik mesti diutamakan,” jelasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.