KYIV: Penduduk di bandar ini dilihat tergesa-gesa memastikan minyak kereta mereka penuh ketika berusaha untuk keluar dari kawasan itu, pagi tadi.
Ketika ramai menidakkan realiti peperangan bakal berlaku, kebanyakan penduduk berpusu-pusu ke sempadan barat untuk melarikan diri dari kereta kebal Rusia yang memasuki bandar itu, lapor Daily Mail.
Bunyi letupan dapat didengar di ibu negara Ukraine termasuk beberapa bandar lain.
Rakaman gambar dan video menunjukkan rakyat Ukraine bergegas ke kawasan selamat.
Ada penduduk kelihatan berhenti di mesin ATM bagi memastikan bekalan wang mencukupi.
Di sisi lain, penduduk memilih menggunakan perkhidmatan kereta api untuk keluar dari bandar itu.
Terdahulu, pasukan tentera Ukraine dan Rusia saling berbalas serangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Tentera Rusia juga didakwa sudah menawan beberapa kawasan dengan bantuan kumpulan pemisah yang menyokongnya.
Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum itu mengumumkan Rusia memutuskan untuk melakukan operasi ketenteraan di Ukraine bagi menamatkan ‘kekejaman junta di negara itu’.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengisytiharkan undang-undang tentera berkuatkuasa serta-merta.