WELLINGTON: Polis New Zealand enggan menyuraikan penunjuk perasaan antivaksin secara paksa bagi mengelakkan rusuhan yang menjurus kepada kecederaan.
Keputusan itu dibuat selepas pasukan polis bertempur dengan penunjuk perasaan yang berhimpun di laman bangunan Parlimen di sini pada minggu lalu.
Pertempuran itu menyaksikan lebih 120 penunjuk perasaan ditahan dan sejumlah daripadanya cedera.
Jurucakap polis, Andrew Coster memaklumkan, polis menyedari kemarahan penduduk Wellington dan pemilik premis perniagaan yang menyifatkan tunjuk perasaan itu menjejaskan kegiatan harian mereka.
Namun, beliau menegaskan sesi dialog bersama penganjur protes itu semakin hampir membuahkan hasil positif, biarpun jumlah penunjuk perasaan berkumpul di kawasan tersebut terus bertambah.
“Tindakan paksa atau kekerasaan hanya menyebabkan orang awam cedera, malah boleh memburukkan lagi tunjuk perasaan yang berlangsung.
“Pada penilaian kami, satu-satunya cara yang paling selamat adalah dengan meneruskan rundingan supaya bersurai,” katanya.
Tunjuk perasaan itu yang kononnya diinspirasikan daripada protes antivaksin di Ottawa, Kanada menyaksikan banyak kehmah didirikan di kawasan Parlimen.
Peserta demonstrasi itu juga meletakkan tandas mobil, meja dan kerusi, kemudahan penjagaan kanak-kanak dan pemberian makanan.
Media tempatan melaporkan, polis New Zealand seperti ‘melepaskan tanggungjawab mereka dan menyerahkannya kepada penunjuk perasaan untuk membuat keputusan’.
Dalam pada itu, Coster memaklumkan, 800 penunjuk perasaan berkampung di kawasan Parlimen dengan lebih 450 kenderaan menghalang laluan dan situasi itu dijangka memburuk menjelang hujung minggu ini.
Sementara itu, penduduk setempat menzahirkan rasa tidak puas hati apabila penunjuk perasaan membuat bising dengan melaungkan slogan antikerajaan. – AFP