WELLINGTON: Usaha pasukan keselamatan di New Zealand untuk meredakan protes antivaksin dengan memasang lagu nyanyian Barry Manilow dikritik oleh pelbagai pihak.
Selain itu, lagu kanak-kanak seperti ‘Baby Shark‘ dan ‘Macarena‘ turut digunakan untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang berkampung di laman bangunan Parlimen selama seminggu.
Ketua Polis Wellington, Corrie Parnell mengakui taktik mengusir penunjuk perasaan menggunakan lagu itu bukan sesuatu yang ‘mereka biasa lakukan’.
“Keadaan itu sudah pun berlaku dan kami akan tangani apa yang ada di hadapan kami,” katanya.
Beliau juga memuji kaedah terbaharu itu sebagai lebih selamat berbanding menggunakan kekerasan kerana tidak mahu kecederaan dalam kalangan penunjuk perasaan.
Terdahulu, lebih 120 penunjuk perasaan ditahan kerana bertempur dengan polis New Zealand ketika pihak berkuasa cuba mengusir mereka dari kawasan Parlimen.
Perdana Menteri Jacinda Ardern enggan memberi kenyataan mengenai pendekatan yang digunakan polis untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Selain itu, parti pembangkang menyifatkan kaedah tersebut sebagai memalukan dan tidak berkesan.
Pemimpin Parti ACT, David Seymour menuduh polis bersikap ‘kebudak-budakan’. – AFP