JAWA TENGAH: Seramai 500 anggota polis lengkap berpakaian jaket keselamatan dikerahkan ke Kampung Wadas, Purworejo bagi menghalang tindakan provokasi penduduk kampung yang menolak rancangan pembinaan projek perlombongan andesit di Empangan Bener.
Lapor CNN Indonesia, pihak polis turut mencabut beberapa sepanduk yang dipasang penduduk kampung bagi membantah Projek Strategik Nasional Empangan Bener.
Difahamkan, kehadiran pihak polis bagi melindungi pasukan pemantauan projek di tapak perlombongan.
Penduduk menolak rancangan pembinaan itu kerana didakwa akan mengancam kehidupan dan persekitaran mereka.
Seorang penduduk berkata, mereka berkumpul di Masjid Nurul Huda Krajan dan dihalang oleh pihak polis ketika mahu mengambil wuduk selepas mengarahkan mereka ke trak polis.
Ketika kejadian menjadi kecoh, beberapa penduduk cuba melarikan diri ke rumah penduduk lain, namun berjaya diberkas.
Pihak polis turut menahan penduduk yang berada di pekarangan masjid serta bertindak mengunci masjid dari luar bagi menghalang penduduk dari dalam.
Ketua Bahagian Penyelidikan Institut Undang-Undang Yogyakarta, Era Hareva Pasarua berkata, sekurang-kurangnya 60 penduduk Kampung Wadas ditahan, dengan 40 daripadanya dihantar ke Balai Polis Bener dan kebanyakan mereka adalah kanak-kanak.
Dalam pada itu, penduduk kampung tersebut diselubungi ketakutan setelah ratusan polis mengepung dan menangkap penduduk kampung.
Seorang penduduk berkata, mereka tidak berani keluar dan memilih untuk berdiam diri di rumah kerana bimbang ditangkap polis.
“Semua penduduk resah kerana di setiap kawasan termasuk di masjid dipantau pihak polis sekali gus mengganggu aktiviti harian penduduk yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah,” luahnya.
Susulan itu, Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo memohon maaf atas tindakan kasar pihak polis terhadap penduduk kampung berhubung pengambilan tanah bagi pembinaan projek tersebut.