KYIV: Presiden Ukraine, Voldymyr Zelensky meminta mana-mana penduduk Eropah yang mempunyai ‘pengalaman bertempur’ untuk mengangkat senjata dan membantu Ukraine berdepan tentangan Rusia.
Zelensky menyifatkan ‘bantuan dari Barat’ amat perlahan dan keadaan amat genting ketika ini.
Pemimpin itu membuat gesaan tersebut ketika pasukan tentera Rusia terus mara ke Kyiv, dengan beberapa laporan menyatakan tentera Moscow sudah pun berada di bahagian utara bandar raya ini.
“Jika anda mempunyai pengalaman bertempur, anda boleh masuk ke Ukraine dan menyertai kami menentang Rusia.
“Kami amat perlukan bantuan anda ketika ini kerana bantuan dari Barat amat perlahan,” katanya.
Zelensky menegaskan, bagaimana Ukraine boleh mempertahankan kedaulatan sekiranya tiada bantuan segera dihulurkan oleh Barat.
Sementara itu, pasukan tentera Ukraine bersiap sedia ‘menyambut kedatangan’ Rusia di seluruh Kyiv.
Ketenteraan negara ini menyatakan, walau apa jua berlaku, mereka tidak akan benarkan Rusia menawan Kyiv. – AFP










