Korban banjir di pantai timur Australia terus bertambah

Korban banjir di pantai timur Australia terus bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Banjir yang melanda di pantai timur Australia meragut satu lagi nyawa, sekaligus menjadikan jumlah kematian akibat cuaca ekstrem itu meningkat kepada enam orang.

Dilaporkan, hujan lebat berserta ribut petir terus bergerak ke arah selatan.   

Polis di Queensland berkata, seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas keretanya ditenggelami air banjir kira-kira pukul 2.30 pagi (waktu tempatan).

Menurut polis, mangsa berjaya keluar daripada kenderaannya dan cuba berenang ke tempat selamat namun lemas sebelum sampai ke permukaan.

Katanya, mayat mangsa ditemukan tidak lama kemudian.

Hujan lebat membadai timur Australia selama lebih seminggu lalu, mengakibatkan banjir besar di sejumlah kawasan sehingga menenggelamkan banyak rumah dan jalan raya serta menghanyutkan kenderaan.

Datuk Bandar Brisbane, Adrian Schrinner menyifatkan keadaan cuaca di Queensland Tenggara sebagai amat dahsyat akibat ‘bom hujan’.

Ketua Menteri, Annastacia Palaszczuk pula menggesa penduduk di Brisbane untuk kekal berada di rumah ketika cuaca buruk bergerak ke arah selatan, menuju ke kawasan kediaman.

“Hujan tidak akan berhenti pada masa ini,” katanya.

Jelas Palaszczuk, hujan lebat dijangka berterusan hingga minggu depan dan lebih 1,400 rumah di Brisbane berisiko banjir.

Agensi Meteorologi Australia mengeluarkan amaran banjir di sebahagian besar Queensland dan utara New South Wales, dengan jumlah taburan hujan melebihi 300 milimeter (mm) di beberapa kawasan dalam tempoh 24 jam. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN