KYIV: Ukraine bakal memberi penghormatan tertinggi kepada kumpulan tentera sempadan yang maut ketika bertempur dengan tentera Rusia di sebuah pulau kecil di Laut Hitam.
Pihak berkuasa Ukraine terputus hubungan dengan Zmiinyi (Pulau Ular) yang terletak di selatan bandar Odessa selepas Rusia melancarkan serangan udara dan laut semalam.
Seramai 13 tentera terbunuh dalam serangan itu dan rakaman audio antara askar negara ini dengan tentera Rusia sebelum diserang turut didedahkan.
“Ini kapal perang Rusia. Kami minta anda letakkan senjata dan menyerah bagi mengelak pertumpahan darah. Jika tidak, anda semua akan dibom.
“Kapal perang Rusia, anda boleh berambus sekarang!” menurut rakaman audio tersebut.
Penasihat Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Anton Herashchenko berkata, selepas itu, Rusia terus melancarkan serangan bertubi-tubi.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman audio berkenaan.
Sementara itu, seramai 82 lagi tentera Ukraine di pulau tersebut menyerah diri kepada Rusia. – REUTERS